KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pulau Langkawi berkemungkinan dimasukkan semula sebagai salah satu peringkat laluan perlumbaan basikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) pada edisi tahun depan, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan sedaya upaya merealisasikan perkara itu selepas pulau bebas cukai itu tidak dimasukkan dalam laluan LTdL tahun ini.
Beliau menjelaskan keputusan tidak menyenaraikan Langkawi pada edisi kali ini dibuat berikutan kekangan bajet susulan langkah penjimatan kerajaan akibat krisis bekalan global.
“Kita perlu mengadakan langkah-langkah penjimatan dan kita perlu mengecilkan sedikit skala penganjuran LTdL (tahun ini). Jika kita memasukkan Langkawi dalam laluan, kos agak besar terutamanya dalam aspek pengangkutan,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata demikian sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu kemudian diluluskan tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 31 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu pada sesi perbahasan, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mempersoalkan mengapa laluan perlumbaan melibatkan pulau Langkawi, yang sinonim dengan jenama LTdL, tidak dimasukkan pada edisi 2026.
Pada sesi sama, Dr Mohammed Taufiq berkata isu berkaitan penetapan had umur penyertaan atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) antara 12 hingga 40 tahun akan dibincangkan semula dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada hujung tahun ini.
Beliau berkata isu itu akan dibincangkan secara teliti bersama pemegang taruh termasuk wakil antaranya exco belia dan sukan negeri, menteri belia negeri, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Paralimpik Malaysia dan Majlis Olimpik Malaysia.
“Penetapan had umur itu yang dimuktamadkan sebelum ini adalah bagi memastikan bahawa kita mendapat pelapis lebih ramai dan pendedahan kepada atlet-atlet (muda) ini supaya mereka mendapat pendedahan awal terhadap temasya-temasya yang besar, dan akhirnya mewakili negara.
“Kita tidak mahu ada satu tempoh kelompongan antara atlet yang telah mencapai kemuncak prestasi dengan mereka yang sedang membangun bakatnya,” katanya menjawab cadangan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) supaya kelayakan atlet Para SUKMA ditentukan berdasarkan prestasi dan tahap kesihatan tanpa mengambil kira had umur.
Persidangan ditangguhkan hingga 10 pagi esok.
-- BERNAMA