Am 06/10/2026 08:51 PM

Kes Ikan Mati Di Sungai Perak, Tunggu Laporan JAS - Exco

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Ikan Mati Di Sungai Perak, Tunggu Laporan JAS - Exco
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim bercakap kepada media pada Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik Digital Perak Sempena Konvensyen Inovasi Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

IPOH, 6 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan insiden ikan mati di Sungai Perak berhampiran Sayong, Kuala Kangsar baru-baru ini berpunca daripada pelepasan sisa dari kilang kelapa sawit berdekatan lokasi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata pihaknya menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang mengumpul bukti serta menjalankan ujian padanan sampel bagi mengesahkan punca sebenar pencemaran.

“Kita ada syak (pelepasan sisa kilang sawit) tapi macam mana pun perlu ada bukti yang kukuh sebelum sesuatu perkara itu dibawa ke muka pengadilan.

“Buat masa ini, pihak JAS sedang melakukan siasatan dan kita jangkakan dapatan berhubung kejadian itu akan diperoleh dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Inovasi Perak 2026 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan pelbagai spesies ikan seperti tengalan, baung dan patin mati di Sungai Perak sekali gus menimbulkan kebimbangan warga maya terhadap pencemaran air yang boleh menjejaskan ekosistem serta pendapatan nelayan darat.

-- BERNAMA