JOHOR BAHRU, 6 Okt (Bernama) -- Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura memerlukan penyelesaian kejuruteraan kompleks, pengujian menyeluruh serta kerjasama rentas sempadan yang erat bagi menangani pelbagai cabaran operasi sebelum perkhidmatan itu dapat beroperasi dengan selamat dan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Pte Ltd (RTSO) Dr Marzuki Ariffin berkata meskipun sistem berkenaan hanya menghubungkan dua stesen merentasi Selat Johor, penyepaduan teliti melibatkan tren, reka bentuk landasan, sistem isyarat dan infrastruktur amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang selamat serta boleh dipercayai.
RTS Link menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.
Beliau berkata RTS Link mungkin kelihatan tidak begitu rumit kerana hanya mempunyai dua stesen, namun kelancaran setiap perjalanan bergantung kepada ketepatan dalam setiap aspek kejuruteraan.
Antara cabaran utama ialah memastikan tren dapat melalui jejambat dengan kecerunan tiga peratus, iaitu tahap maksimum yang dibenarkan bagi operasi tren berdasarkan parameter reka bentuk projek berkenaan.
“Tren menuruni cerun ini dari titik tertinggi jambatan menuju ke aras tanah. Tren perlu mengekalkan kelajuan selamat serta berhenti dengan lancar dan tepat di stesen,” katanya menerusi hantaran di Facebook RTSO.
Marzuki berkata bagi menangani cabaran laluan menurun itu, reka bentuk landasan, sistem brek dan sistem isyarat perlu diselaraskan dengan tepat.
Beliau berkata cuaca basah turut menambah cabaran apabila daya cengkaman antara roda dengan landasan berkurangan, sekali gus memberi kesan secara langsung terhadap prestasi pecutan dan membrek tren.
“Ini hanya satu contoh penyelesaian kejuruteraan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap perjalanan selamat dan selesa. Ia melibatkan berjam-jam proses mereka bentuk, pengujian dan kerja berpasukan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pasukan kejuruteraan dan projek dari kedua-dua negara atas usaha serta komitmen dalam menjayakan projek berkenaan.
Marzuki turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura atas semangat “One Team”, sokongan serta kerjasama dalam merealisasikan projek berkenaan.
RTSO dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan RTS Link dijangka memulakan operasi pada Februari 2027, manakala semua ujian sistem dan percubaan operasi disasarkan selesai menjelang 31 Dis tahun ini.
-- BERNAMA