MELAKA, 6 Okt (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pusat panggilan yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan telefon dengan menyasarkan warga Jepun selepas menahan 17 warganegara asing dalam serbuan di sebuah vila di Alai di sini Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata serbuan kira-kira 2.30 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hasil maklumat dan risikan.
“Mereka yang ditahan berusia 23 hingga 55 tahun, termasuk tiga wanita membabitkan 11 warga Jepun, empat warga China dan dua warga Myanmar.
“Polis turut merampas pelbagai barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM25,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini hari ini.
Halim berkata siasatan awal mendapati premis itu dipercayai disewa untuk tempoh kira-kira enam bulan dan disyaki digunakan sebagai pusat operasi bagi menjalankan kegiatan penipuan.
Beliau berkata sindiket itu dipercayai mula beroperasi di Melaka sejak awal Ogos lepas dan kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk mencari serta menghubungi mangsa warganegara Jepun melalui panggilan telefon.
"Polis turut menemukan 28 keping kertas cetakan komputer yang dipercayai mengandungi skrip dalam bahasa Jepun yang kini sedang diteliti sebagai sebahagian daripada siasatan.
“Kaedah pemerdayaan secara terperinci, skrip panggilan yang digunakan, identiti yang digunakan untuk memperdaya mangsa, kaedah pembayaran, aliran wang serta jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Halim berkata analisis lanjut terhadap barang kes yang dirampas sedang dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi penuh, peranan setiap suspek, identiti dalang sindiket, mangsa yang terlibat serta aliran kewangan sindiket berkenaan.
“Polis tidak menolak kemungkinan terdapat individu atau rangkaian lain yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
“Hasil pemeriksaan turut mendapati daripada keseluruhan 17 warga asing yang ditahan, hanya lima orang mempunyai pasport. Status dokumen perjalanan, pas lawatan dan permit kerja kesemua suspek sedang dalam semakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata kesemua suspek direman selama 14 hari hingga 18 Okt bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Polis turut menyeru pemilik rumah dan pengusaha tempat penginapan supaya sentiasa peka terhadap penggunaan premis masing-masing dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.
-- BERNAMA