Am 06/10/2026 05:55 PM

TalentCorp, MCMC Perkukuh Ekosistem Bakat Sektor Komunikasi Dan Multimedia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TalentCorp, MCMC Perkukuh Ekosistem Bakat Sektor Komunikasi Dan Multimedia
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) bergambar bersama tetamu selepas Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan Bagi Sektor Komunikasi Dan Multimedia (C&M FSF) Dan Inisiatif Pembangunan Bakat Strategik di Angkasapuri. Turut sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tiga,kiri), Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan (tiga,kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah (dua,kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri, ahli akademik dan penyedia latihan bagi membangunkan bakat yang memenuhi keperluan masa depan sektor komunikasi dan multimedia.

TalentCorp dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu disokong menerusi Kajian Impak Kecerdasan Buatan, Digital dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia bagi sektor Komunikasi dan Multimedia yang dilaksanakan agensi itu bersama-sama MCMC yang dilancarkan semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan perubahan ekonomi dan keperluan industri bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing.

“Usaha TalentCorp bersama-sama MCMC penting kerana ia memberi kita gambaran yang lebih jelas tentang keperluan kemahiran industri, bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk beberapa tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan sama.

Beliau berkata pendekatan pembangunan bakat berasaskan data dan dipacu keperluan industri penting bagi memastikan tenaga kerja negara mempunyai kemahiran relevan untuk merebut peluang baharu, selain memenuhi keperluan industri yang terus berkembang.

Kajian itu memetakan 268 peranan pekerjaan dan 748 kemahiran serta mengenal pasti empat peranan baharu muncul, iaitu jurutera dan pegawai etika kecerdasan buatan (AI), pakar pengkomputeran pinggir dalam subsektor telekomunikasi serta head of postal inspectorate bagi subsektor pos dan kurier.

Sebanyak 748 kemahiran dipetakan merangkumi rangkaian masa hadapan, keselamatan siber, pengkomputeran awan, analitik data, penghasilan kandungan digital, penggunaan AI secara bertanggungjawab dan automasi.

Dapatan kajian itu turut menyokong pembangunan Communications and Multimedia Future Skills Framework (C&M FSF) oleh MCMC sebagai asas untuk menyelaras keperluan kemahiran, pembangunan bakat dan laluan kerjaya dengan keperluan industri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Biruntha Mooruthi berkata kajian itu menyediakan asas untuk menterjemahkan keperluan industri kepada tindakan pembangunan bakat yang lebih bersasar.

“Melalui Future Skills Talent Council oleh TalentCorp, kita membawa majikan, kerajaan, ahli akademik dan penyedia latihan bersama-sama untuk memahami keperluan kemahiran industri serta menentukan tindakan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu bertujuan membangunkan kemahiran yang tepat, mewujudkan laluan kerjaya lebih jelas serta menghubungkan rakyat Malaysia kepada peluang pekerjaan dalam sektor yang terus berkembang.

Kajian itu turut mencadangkan 29 inisiatif strategik merentasi tiga subsektor termasuk pembangunan bakat teknologi masa hadapan, peningkatan kemahiran AI dan digital, penjajaran pendidikan dengan keperluan industri serta penerapan teknologi dan ekonomi hijau secara bertanggungjawab.

-- BERNAMA