Am 06/10/2026 05:57 PM

Jasa Mendiang Tan Sri Khoo Dalam Dunia Kepolisan Terus Dikenang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jasa Mendiang Tan Sri Khoo Dalam Dunia Kepolisan Terus Dikenang
Anak mendiang bekas Ketua Polis Perak Tan Sri Koo Chong Kong, Datin Rita Koo Swee Kim melihat uniform asal yang dipakai bapanya yang ditembak mati oleh anasir komunis pada 13 November 1975 ketika ditemu bual di pameran sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

TANJONG MALIM, 6 Okt (Bernama) -- Figura seorang bapa yang penyayang, namun tegas dan berani dalam menjalankan tugas sebagai pegawai polis masih kekal segar dalam ingatan Datin Rita Koo Swee Kim, anak mendiang bekas Ketua Polis Perak Tan Sri Khoo Chong Kong yang terkorban ketika serangan dipercayai oleh pengganas komunis lima dekad lepas.

Rita, 78, berkata meskipun hampir 51 tahun berlalu sejak pemergian bapanya, kenangan dengan mendiang sentiasa hidup dalam dirinya, malah persembahan pantomim bersempena dengan perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim hari ini kembali mengimbau kenangan lama dan menyentuh emosinya.

“Ketika insiden itu berlaku saya baru berusia kira-kira 25 tahun dan berada di Seremban kerana mengikuti suami selepas berkahwin. Apabila kejadian itu berlaku saya menerima panggilan daripada seorang pegawai polis yang memaklumkan mengenai kejadian menimpa bapa namun tiada maklumat terperinci diberikan pada masa itu.

“Selepas mengetahuinya saya dan suami bergegas pulang ke Ipoh bagi mengetahui keadaan sebenarnya ayah yang telah diserang dengan senjata, dan pada hari ini saya sangat tersentuh kerana PDRM, khususnya polis Perak, masih mengingatinya serta mengingatkan kami mengenai pengorbanan beliau,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian IPD Muallim di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Rita merupakan anak sulung mendiang juga berkata antara kenangan paling kuat dengan bapanya adalah kesibukan mendiang dalam menjalankan tugas penuh dedikasi dan tegas khususnya ketika berkhidmat dalam Cawangan Khas dan terlibat dalam operasi membanteras kegiatan komunis.

Beliau berkata sepanjang hidup bersama, ada kalanya bapanya terpaksa berada di luar selama satu atau dua bulan bagi menjalankan operasi, keadaan itu menyebabkan ibunya sering kali bimbang.

“Bapa sentiasa sangat sibuk, kadang-kadang apabila keluar menjalankan operasi, kami tidak tahu bila bapa akan pulang dan ada masanya beliau berada di luar selama satu atau dua bulan untuk menjalankan operasi” katanya.

Rita berkata bagaimanapun, ketegasan bapanya ketika bertugas tidak pernah dibawa ke dalam kehidupan keluarga, sebaliknya mendiang merupakan seorang bapa yang penyayang dan mengambil berat terhadap anak-anak.

Menurut beliau bapanya juga seorang yang berpegang teguh kepada prinsip serta tidak mudah berkompromi dengan perkara yang dianggapnya tidak wajar di samping itu sifat berani yang ditunjukkan oleh bapanya semasa menjalankan tugas sangat dikagumi dan menjadi inspirasi sehingga kini.

Dalam pada itu, Rita menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada PDRM selepas berpeluang melihat semula kereta rasmi yang digunakan bapanya, pakaian seragam semasa kejadian yang masih berlumuran darah serta bahan berkaitan mendiang yang dijadikan bahan pameran semasa perasmian IPD Muallim hari ini.

“Semestinya semua ini membawa saya kembali kepada zaman itu. Walaupun sebelum ini saya pernah melihat kereta tersebut di muzium, melihatnya semula hari ini bersama-sama pakaian seragam dan kisah mengenai beliau benar-benar mengembalikan kenangan,” katanya.

Mendiang Khoo dilahirkan pada 12 Nov 1925 di Kwangsi, China dan dibesarkan di Ipoh, menyertai Sarawak Constabulary sebagai Inspektor pada 5 Nov 1952 sebelum melakar pelbagai pencapaian dalam kerjaya kepolisan sehingga dilantik sebagai Ketua Polis Perak pada 7 Jan 1975.

Khoo dilaporkan meninggal dunia selepas ditembak ketika dalam perjalanan pulang dari Ibu Pejabat Kontinjen Perak menuju kediamannya di Jalan Tawar, Ipoh, kira-kira 1 tengah hari, 13 Nov 1975, dalam serangan yang dipercayai dilakukan oleh anasir komunis.

Dalam kejadian itu, pemandunya Koperal Yeong Peng Cheong turut terkorban, manakala mendiang Khoo meninggal dunia pada 14 Nov 1975 selepas bertarung nyawa kira-kira 28 jam akibat kecederaan parah.

-- BERNAMA