TEMERLOH, 6 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang terbuka untuk berbincang dengan Berjaya Hills Resort Bhd (Berjaya Hills), bagi merungkai kemelut berkaitan tindakan penguatkuasaan terhadap tanah yang diusahakan syarikat itu di Bukit Tinggi, dekat Bentong.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebarang perbincangan, perlu berasaskan peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Itu terpulang kepada dialah (Berjaya Hills), kita ambil tindakan berlandaskan undang-undang. Kerajaan negeri terbuka untuk perbincangan tetapi masih berasaskan dan berpaksikan kepada undang-undang, ada peraturan (jadi) ikut peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Terbuka Kampung Sempadan di sini, hari ini bagi mengulas kenyataan Berjaya Hills yang mendakwa tindakan penguatkuasaan terhadap hartanahnya oleh pihak berkuasa Pahang, sebagai tidak munasabah dan sama sekali tidak boleh diterima.
Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan berkenaan diambil susulan pertikaian berhubung kenaikan cukai tanah dan didakwa menjejaskan jangkaan sah syarikat itu untuk meneruskan perniagaan serta operasinya secara aman.
Pertikaian berkenaan berpunca daripada kenaikan cukai tanah sebanyak 13 kali ganda ke atas hartanah Berjaya Hills kepada RM33.7 juta pada 2020 berbanding tahun sebelumnya, sebelum jumlah itu dikurangkan kepada RM25.75 juta.
Menurut kenyataan itu, Berjaya Hills kini memperoleh penangguhan sementara terhadap pelucuthakan premis pada 28 Sept, yang meliputi kuarters kakitangan, dobi pusat dan kemudahan penting lain.
Selain itu, Wan Rosdy berkata terpulang kepada Berjaya Hills untuk meneruskan pendengaran kes tuntutan kerajaan negeri itu di mahkamah, termasuk permohonan mendapatkan kebenaran membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Persekutuan.
Syarikat itu sebelum ini gagal dalam permohonan semakan kehakiman terhadap Kerajaan Negeri Pahang di Mahkamah Tinggi pada 29 Mei 2024, sebelum mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan, namun pada 16 Julai lepas, mahkamah itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Berjaya Hills kemudian memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan, dengan kes itu dijadualkan pada 8 Dis.
Ditanya sama ada kerajaan Pahang akan melaksanakan pengauditan terhadap kawasan peranginan yang diusahakan Kumpulan Berjaya di Pulau Tioman, Wan Rosdy berkata perkara itu bukan menjadi keutamaan buat masa ini.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kegiatan penerokaan tanah secara haram termasuk di kawasan hutan, malah tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa mengira pihak yang terlibat.
Beliau berkata pendirian itu turut terpakai terhadap kawasan hutan yang mempunyai kepentingan alam sekitar, termasuk kawasan Ramsar di Bera, susulan gesaan supaya kerajaan negeri mengambil tindakan bagi memulihkan semula kawasan yang didakwa telah diteroka.
Wan Rosdy berkata ia merupakan dasar kerajaan negeri dan dikuatkuasakan secara berterusan melibatkan pencerobohan tanah, mineral, perlombongan dan pasir.
“Ini adalah kedaulatan negeri, kita ada Raja, ada Sultan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA