Am 03/10/2026 01:30 PM

Bantuan Lestari Siswa MADANI Perkasa Kebajikan Pelajar IPT

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bantuan Lestari Siswa MADANI Perkasa Kebajikan Pelajar IPT
Kredit: PTPTN

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Sebanyak 634 penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) menerima manfaat inisiatif Bantuan Lestari Siswa MADANI membabitkan peruntukan RM317,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata sumbangan itu melibatkan RM285,500 untuk 571 pelajar UPSI dan RM31,500 untuk 63 pelajar PTSS dengan kesemua penerima merupakan peminjam PTPTN daripada golongan kurang berkemampuan.

"Setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara one-off yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing. Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar menangani cabaran kewangan serta memberi sokongan tambahan dalam tempoh pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata bantuan secara berterusan itu mencerminkan komitmen PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan kebajikan pelajar yang memerlukan terus diberi perhatian dan sokongan agar dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik.

"Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi meringankan keperluan sepanjang tempoh pengajian. Semoga sokongan ini memberi semangat kepada pelajar untuk terus fokus menuntut ilmu dan melangkah dengan yakin dalam merealisasikan cita-cita," katanya.

Ahmad Dasuki berkata inisiatif itu akan terus diperkasakan bagi membantu pelajar menghadapi cabaran sepanjang pengajian, sekali gus menyokong pembangunan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Beliau berkata pendidikan merupakan asas penting dalam membina masa depan yang lebih baik untuk diri, keluarga dan masyarakat.

Bantuan kepada pelajar UPSI disampaikan Ahmad Dasuki dalam majlis di Dewan Sultan Idris Training College (SITC), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, Tanjung Malim, Perak pada 29 Sept lepas.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Pengarah Pejabat PTPTN Negeri Perak Andi Nurali Mohamed.

Sementara itu, majlis penyerahan bantuan di PTSS dilakukan oleh Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad di Dewan Kuliah Utama PTSS, Arau, Perlis semalam yang turut dihadiri Pengarah PTSS Khairul Anuar Ishak dan Pengarah Pejabat PTPTN Negeri Perlis Raja Syahriman Raja Halimul Rashid.

Bantuan Lestari Siswa MADANI diperkenalkan bagi membantu meringankan beban kewangan dan menyediakan sokongan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan di IPT.

-- BERNAMA