Am 03/10/2026 02:17 PM

PLKN 3.0 Semakin Mendapat Sambutan, 10 Individu Hadir Sukarela Di Kem Di Kepala Batas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PLKN 3.0 Semakin Mendapat Sambutan, 10 Individu Hadir Sukarela Di Kem Di Kepala Batas
Pengarah Bahagian Dasar dan Pembangunan, Markas Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kolonel Abdul Rani Abdul Majid (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ketika meninjau proses pendaftaran pelatih PLKN 3.0 siri 4/2026 di Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) Rejimen 513 (AW) Kepala Batas, hari ini.

ALOR SETAR, 3 Okt (Bernama) -- Sambutan terhadap Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 semakin menggalakkan apabila kira-kira 10 individu hadir secara sukarela di Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) Rejimen 513 (AW), Kepala Batas, di sini hari ini meskipun tidak membuat pengesahan awal untuk menyertai program berkenaan.

Pengarah Bahagian Dasar dan Pembangunan, Markas Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kolonel Abdul Rani Abdul Majid berkata perkembangan itu menunjukkan terdapat individu yang berminat menyertai PLKN 3.0 selepas mendapat maklumat mengenai program tersebut.

“Kalau ikutkan kita menerima pengesahan 211 orang pelatih yang sepatutnya mendaftar hari ini, selain itu setakat pagi ini kita menerima hampir 10 orang yang datang secara sukarela walaupun tidak membuat pengesahan,” katanya kepada Bernama ketika meninjau proses pendaftaran pelatih PLKN 3.0 Siri 4/2026 di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pelatih yang mendaftar di kem tersebut akan menjalani latihan merangkumi 70 peratus modul ketenteraan dan 30 peratus modul kenegaraan.

Abdul Rani turut menggalakkan ibu bapa memberikan sokongan kepada anak masing-masing untuk menyertai PLKN 3.0 berdasarkan maklum balas positif yang diterima menerusi penilaian terhadap ibu bapa pelatih.

Beliau berkata antara manfaat menyertai PLKN ialah pelatih yang menamatkan latihan akan memperoleh merit daripada lima pihak berkuasa melantik iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Majlis Angkatan Tentera, Suruhanjaya Pasukan Polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta pihak berkuasa berkaitan perkhidmatan awam, sekali gus memberi kelebihan ketika memohon menyertai perkhidmatan berkaitan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JLKN Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar dalam kenyataan memaklumkan penilaian pelaksanaan PLKN 3.0 menunjukkan tahap kepuasan ibu bapa yang tinggi apabila keenam-enam elemen utama merekodkan maklum balas positif melebihi 90 peratus.

Beliau berkata dapatan validasi JLKN bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu melibatkan 571 responden daripada 4,199 ibu bapa pelatih bagi siri terdahulu.

“Secara keseluruhan, keenam-enam elemen mencatatkan purata 95.55 peratus bagi gabungan respons Sangat Setuju dan Setuju, dengan keberkesanan PLKN 3.0 mencatat skor tertinggi 97.98 peratus, diikuti disiplin dan transformasi diri 97.79 peratus,” katanya.

Marzuki berkata peningkatan jumlah pelatih yang mengesahkan kehadiran bagi Siri 4/2026 turut menunjukkan sambutan menggalakkan apabila 2,009 pelatih mengesahkan kehadiran untuk melapor diri hari ini di lapan kem seluruh negara, berbanding sasaran 1,203 pelatih.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan PLKN 3.0 semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa yang melihat program berkenaan sebagai platform membentuk jati diri, disiplin, daya tahan, semangat perpaduan dan rasa tanggungjawab generasi muda.

-- BERNAMA