Am 03/10/2026 03:17 PM

BERKAT Deepavali: RM30 Juta Perkasa Usahawan India, Permohonan Bermula Hari Ini - Sim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
BERKAT Deepavali: RM30 Juta Perkasa Usahawan India, Permohonan Bermula Hari Ini - Sim
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong beramah mesra dengan orang ramai pada Program MADANI Kita Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk di Pusat Perniagaan Santuari Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM, 3 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM30 juta menerusi skim Biaya Festival Perniagaan Rakyat (BERKAT) Deepavali bagi membantu usahawan masyarakat India membuat persediaan perniagaan menjelang perayaan itu bulan depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata skim khas menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional itu menawarkan pembiayaan hingga RM30,000 pada kadar keuntungan tiga peratus setahun bagi tempoh 12 bulan.

Beliau berkata kemudahan berkenaan penting khususnya kepada peniaga kecil yang memerlukan modal pusingan dalam tempoh singkat untuk menambah stok dan membuat persediaan menjelang musim perayaan.

“Deepavali satu bulan lagi, jadi saya umumkan skim BERKAT Deepavali untuk usahawan dan peniaga kaum India.

“Kita harap usahawan-usahawan Deepavali, Bazar Deepavali, Little India boleh memanfaatkan peruntukan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Bukit Mertajam di Pusat Perniagaan Santuari di sini hari ini.

Sim berkata pembiayaan itu boleh digunakan sebagai modal pusingan tambahan khususnya bagi peniaga dan penjaja kecil dalam sektor makanan dan minuman, pakaian serta penjualan peralatan dan kelengkapan bersempena dengan Deepavali.

Beliau berkata BERKAT Deepavali dibuka mulai hari ini hingga 8 Nov dan permohonan boleh dibuat menerusi Sistem Permohonan TEKUN Online atau di pejabat cawangan TEKUN Nasional di seluruh negara.

Skim itu terbuka kepada warganegara Malaysia daripada masyarakat India berumur 18 hingga 65 tahun manakala usahawan TEKUN sedia ada juga boleh memohon dengan syarat jumlah keseluruhan pembiayaan diterima tidak melebihi RM100,000.

Mengulas proses kelulusan, Sim berkata KUSKOP menetapkan keputusan bagi permohonan pembiayaan di bawah RM100,000 perlu diberikan dalam tempoh tujuh hari, selain agensi berkaitan diminta mempercepat dan memudah cara permohonan BERKAT Deepavali.

Beliau berkata KUSKOP akan membantu pemohon yang mempunyai rekod kredit kurang baik dengan melihat faktor lain termasuk aliran tunai dan kaedah penilaian kredit alternatif, namun setiap permohonan masih tertakluk kepada audit serta tadbir urus yang baik.

Sebelum ini, menerusi skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) Aidilfitri dari Februari hingga Mac, TEKUN Nasional menyalurkan RM35 juta kepada 5,590 usahawan, melebihi peruntukan awal RM30 juta.

-- BERNAMA