Am 03/10/2026 04:22 PM

PEFEM Buka Peluang Ekonomi Kepada Generasi Muda Dalam Ekosistem Fesyen

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PEFEM Buka Peluang Ekonomi Kepada Generasi Muda Dalam Ekosistem Fesyen

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PEFEM) mahu membina laluan perniagaan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada generasi muda dan pereka baharu dalam ekosistem industri fesyen tempatan.

Presidennya Bkay Nair l berkata industri fesyen mempunyai ekosistem luas dan tidak hanya tertumpu pada peragaan atau pereka semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai cabang seperti tekstil, kraf tangan, produksi, fotografi, penggayaan, solekan, penjenamaan, peruncitan hingga pengurusan acara.

“Kita mahu peluang itu bergerak merentasi keseluruhan ekosistem. Fesyen perlu dilihat sebagai ‘a money-making business’. Kreativiti memang penting, tetapi bagaimana ia boleh menghasilkan nilai ekonomi, pendapatan dan banyak peluang bisnes adalah keutamaan kami,” katanya kepada Bernama selepas penganjuran acara fesyen REKA RONA 2026 di Kraftangan Malaysia, di sini semalam.

Bkay yang juga model dan pelakon, berkata PEFEM mahu melatih generasi muda khususnya pelajar kolej vokasional dan komuniti agar mempunyai minda keusahawanan sejak di bangku pengajian untuk mencipta peluang perniagaan sendiri.

Maju Johor

“Saya mahu generasi muda bukan sahaja bertanya, ‘What job can I get in the fashion industry?’ tetapi juga ‘What opportunity can I create in the fashion industry',” katanya.

Menyentuh penganjuran REKA RONA 2026 semalam, Bkay menjelaskan acara berkenaan memberi pendedahan dunia industri sebenar kepada 11 peserta merangkumi lapan institusi pengajian tinggi dan tiga pereka baharu.

Acara pengiktirafan itu menyaksikan GIATMARA merangkul Anugerah Bakat Muda serta Anugerah Rekaan Keseluruhan Terbaik, manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan pemenang Anugerah Kreativiti dan Inovasi.

Turut melakarkan kejayaan ialah Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Banting yang memenangi Anugerah Warisan Terbaik, manakala Kolej Vokasional ERT Setapak mengungguli Anugerah Rekaan Kontemporari Terbaik.

Maju Johor

Bagi mengukuhkan nilai pembangunan perniagaan, Bkay berkata karya lima pemenang berkenaan turut dipamerkan di Muzium Tekstil Negara selama tiga bulan hingga akhir tahun ini, sekali gus membuka ruang jaringan perniagaan dengan pelabur, pembeli tempatan serta pelancong antarabangsa.

Menurutnya, meskipun REKA RONA 2026 pada peringkat awal memfokuskan pada pembangunan perniagaan dan pengiktirafan, PEFEM menyasarkan acara itu berkembang menjadi platform pasaran komersial, peruncitan dan e-dagang yang kukuh pada masa depan. 

Tambah beliau yang berpegang pada prinsip "Malaysian First", keutamaan PEFEM adalah memartabatkan warisan tempatan dengan mendidik generasi muda memahami kekayaan tekstil Malaysia seperti batik, songket, tenun Pahang, telepuk dan banyak lagi.

“Pemeliharaan warisan semata-mata tidak mencukupi. Kita perlu melihat bagaimana warisan, kemahiran pertukangan dan kreativiti ini dapat mewujudkan permintaan, menjana pendapatan serta memastikan ilmu pengetahuan itu terus berkembang,” katanya.

-- BERNAMA