BATU PAHAT, 3 Okt (Bernama) -- Pelumba Perancis Ronan Auge kini diletakkan di bawah pemantauan rapi (induced coma) bagi mengoptimumkan rawatannya selepas terlibat dalam kemalangan serius pada Peringkat Keenam Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026. Namun, pelumba itu “berada dalam keadaan stabil” dan menunjukkan perkembangan positif, kata Pengarah Pasukan Unibet Rose Rockets Joram Grootveld.
Beliau berkata pelumba berusia 22 tahun itu dikejarkan ke hospital sejurus selepas kejadian yang berlaku pada peringkat awal perlumbaan di laluan Pandan Indah ke Rembau semalam, dengan doktor pasukan terus berada di sisi bagi memantau keadaannya sepanjang masa.
“Berlaku kemalangan besar semalam pada awal perlumbaan dan kemalangan itu begitu serius sehingga kami perlu membawanya ke hospital dengan segera. Doktor pasukan kami bersamanya semalam dan juga hari ini.
“Mereka mengekalkannya dalam keadaan induced coma bagi memastikan segala keadaan kekal stabil. Buat masa ini, semuanya kelihatan agak baik. Jadi, kami mengambil langkah demi langkah dan perlu menunggu apa yang berlaku dalam beberapa jam akan datang. Namun, dia berada dalam keadaan stabil sekarang. Doktor pasukan kami berada bersamanya dan kami berharap dia akan pulih dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas tamat Peringkat Ketujuh (Melaka ke Batu Pahat) di sini hari ini.
Beliau berkata pasukan itu menghadapi situasi itu langkah demi langkah sambil memantau perkembangannya dalam beberapa jam akan datang, selain memberi jaminan pelumba itu berada dalam keadaan baik dengan doktor pasukan sentiasa berada di sisinya, dengan harapan dia dapat pulih sepenuhnya.
Terdahulu, beliau turut mengesahkan pelumba itu mengalami beberapa keretakan tulang akibat impak pada kelajuan tinggi.
“Dia memang mengalami beberapa keretakan tetapi, ya, sekarang kami hanya perlu mengambil langkah demi langkah dan melihat bagaimana dia pulih daripada kecederaan itu,” katanya.
Pasukan itu dalam kemas kini perubatan yang dimuat naik menerusi akaun media sosial rasmi mereka memaklumkan walaupun Auge mengalami kecederaan serius, keadaannya kekal stabil dan tidak mengancam nyawa manakala pasukan itu terus berhubung rapat dengan pasukan perubatan yang merawatnya di Malaysia.
Edisi ke-30 LTdL akan melabuhkan tirainya esok dengan Peringkat Kelapan sejauh 188.3 kilometer (km) dari Muar ke Putrajaya.
-- BERNAMA