KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Fokus ekonomi Malaysia kini beralih daripada mengejar kecekapan kepada usaha membina daya tahan yang lebih kukuh, ketika negara terus mencatat pertumbuhan yang mengatasi unjuran walaupun berdepan ketidaktentuan global, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Pengerusi MIDA Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata mengurus ekonomi turut bermakna membuat persediaan bagi memanfaatkan peluang yang jelas, di samping memastikan Malaysia kekal berdaya tahan menghadapi kejutan yang tidak dapat dijangka.
Beliau berkata pembaharuan fiskal utama, termasuk rasionalisasi subsidi bahan api dan Akta Tanggungjawab Fiskal telah mengukuhkan kedudukan kewangan awam Malaysia.
“Namun, pembaharuan ekonomi perlu disertai keprihatinan iaitu dengan melindungi golongan yang mudah terjejas sambil memperkukuh keupayaan negara.
“Kita perlu meningkatkan pendapatan secara proaktif dengan memastikan gaji meningkat seiring dengan produktiviti, mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi dan menggalakkan keusahawanan,” katanya dalam ucapan khas kepimpinannya pada Forum Ekonomi Belia di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata laluan perdagangan kini sedang berubah, manakala kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja membantu tenaga kerja, malah turut mengubah corak pekerjaan, termasuk pekerjaan yang sebelum ini menjadi titik permulaan golongan muda dalam kerjaya.
Katanya populasi muda Malaysia hanya boleh menjadi aset ekonomi sekiranya ia menyumbang kepada peningkatan produktiviti, inovasi, pekerjaan bernilai tinggi dan perniagaan baharu.
“Pada ketika aliran pelaburan ke rantau kita dan negara terus mencatat rekod, kita mesti terus bertanya: apakah yang pelaburan ini hasilkan untuk rakyat Malaysia? Berapa banyak pekerjaan berpendapatan tinggi? Berapa ramai jurutera muda yang memperoleh kemahiran baharu? Berapa banyak perusahaan kecil dan sederhana yang berjaya menyertai rantaian bekalan global?
“Aliran modal seharusnya membantu membina syarikat yang lebih kukuh, manakala teknologi pula meningkatkan kemahiran tenaga kerja,” katanya.
-- BERNAMA