MELAKA, 3 Okt (Bernama) -- Pada usia 71 tahun, Syed Amran Syed Omar masih aktif turun padang membantu mangsa bencana dan masyarakat malah kini merancang memperluas khidmatnya kepada warga emas yang kurang mendapat perhatian keluarga di seluruh Perlis.
Penerima Anugerah Khas Warga Emas sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 itu berkata penghargaan yang diterima hari ini menjadi penyuntik semangat untuk terus menyumbang tenaga kepada masyarakat menerusi kerja kesukarelawanan.
"Apabila kita dianugerahkan sesuatu seperti yang saya terima hari ini, ia memberi satu semangat, semangat jitu yang kita bawa walaupun di hujung umur ini untuk sentiasa membantu, menolong tidak kira masa… kalau umur sebegini duduk diam-diam, kesihatan kita akan diuji," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Timbalan Pemerintah St John Ambulans Malaysia Negeri Perlis itu berkata semangat kesukarelawanan yang diamalkan turut diterjemah menerusi penglibatan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk membantu mangsa COVID-19, banjir di Hulu Langat dan bencana kepala air di Yan, Kedah.
Syed Amran, yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Hutan Ketiau di Perlis, berkata penglibatan dalam kerja kemasyarakatan banyak dipengaruhi prinsip untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Beliau berkata antara tugasan yang dirancang ialah program “Lawat, Rawat dan Siar” untuk mendekati warga emas di seluruh Perlis yang kurang mendapat perhatian anak-anak, pasangan atau saudara-mara.
Menerusi program itu, Syed Amran berkata pihaknya bukan sahaja menziarahi dan membantu warga emas malah membawa mereka bersiar ke tempat pelancongan bagi membantu meningkatkan kesejahteraan serta emosi golongan berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Yazid Sairi selaku penerima Anugerah Prihatin Warga Emas kategori pihak berkuasa tempatan berkata kebajikan dan kesejahteraan warga emas adalah antara tumpuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
"Petaling Jaya, sebagai antara bandar raya terawal di Selangor, mempunyai kira-kira 830,000 penduduk, dengan 7.5 peratus terdiri daripada warga emas.
"Untuk itu, kami memberi penekanan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan itu malah Pelan Tindakan Penjagaan Warga Emas 2026 hingga 2030 diwujudkan untuk memastikan kebajikan mereka dapat kita ambil perhatian serta dijaga dengan baik," katanya.
Beliau berkata usaha menjaga kebajikan warga emas turut melibatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, ahli majlis dan jabatan kerajaan lain bagi memastikan program yang dilaksana memenuhi keperluan golongan berkenaan.
Mohamad Yazid berkata antara program yang mendapat maklum balas positif ialah aktiviti pendidikan dan kesihatan termasuk bengkel kesihatan bagi membantu warga emas memahami aspek penjagaan kesihatan yang perlu diamalkan setiap hari.
Beliau berkata MBPJ turut menyediakan aktiviti ekonomi dan kerja kreatif serta bantuan kecemasan kepada warga emas yang memerlukan termasuk perkhidmatan ambulans secara percuma.
Turut disampaikan pada majlis itu ialah anugerah bagi kategori syarikat korporat/badan berkanun dan majikan.
-- BERNAMA