Am 03/10/2026 09:31 PM

Kelangsungan Seni Budaya Bergantung Pada Generasi Pewaris - JKKN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kelangsungan Seni Budaya Bergantung Pada Generasi Pewaris - JKKN
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Rohaniza Abdullah (enam, kanan) bergambar bersama peserta pada Majlis Penuntupan Bengkel Produk seni Budaya Negeri : Gasing Uri dan Majlis Apresiasi Program Perantisan Seni Mak Yong (Kanak-kanak) di Dewan Terbuka Kompleks JKKN Kelantan, Tanjong Chat.

KOTA BHARU, 3 Okt (Bernama) -- Kelangsungan seni budaya tradisional Kelantan bergantung pada kewujudan generasi pewaris yang bukan sahaja mengenali, malah mempelajari serta mengamalkan warisan berkenaan, kata Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan Rohaniza Abdullah.

Beliau berkata usaha melestarikan seni budaya perlu disertai pendekatan yang memberi ruang kepada generasi muda untuk mempelajari dan menguasai warisan berkenaan secara berterusan, bukan sekadar mengekalkan bentuk asalnya.

“Kelestarian seni budaya memerlukan kesinambungan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Kami bukan sahaja berusaha memelihara warisan sedia ada tetapi turut meneroka pendekatan inovasi dan menyediakan ruang pembelajaran kepada golongan muda untuk mengenali serta menguasai seni budaya tradisional,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Bengkel Produk Seni Gasing Uri dan Perintis Mak Yong di Kompleks JKKN Kelantan di sini hari ini.

Rohaniza berkata Program Perintis Mak Yong (kanak-kanak) adalah antara usaha melahirkan pelapis seni tradisional menerusi latihan secara konsisten dan pendedahan kepada persembahan.

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan peserta memahami asas persembahan, tarian, lakonan dan ucapan, selain mendapat pengalaman berada di pentas.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha memperkenalkan gasing uri kepada generasi baharu turut diberi perhatian menerusi pendekatan yang bertujuan menjadikan permainan rakyat berkenaan lebih mudah didekati tanpa menjejaskan fungsi dan identiti asalnya.

“Gasing uri adalah permainan rakyat yang berorientasikan kemahiran menguri menggunakan teknik memusing. Permainan ini adalah antara pendekatan bagi mengangkat produk seni budaya yang mempunyai identiti dan berpotensi diinovasikan bagi memperluaskan penggunaannya,” katanya.

Rohaniza berkata kesinambungan usaha berkenaan penting bagi memastikan seni budaya tradisional terus dipelajari, diamalkan dan diwarisi oleh generasi seterusnya.

“Warisan hanya akan terus hidup apabila ada yang mempelajari, mengamalkan dan mewarisinya. Sebab itu kami mahu usaha seperti perintis dan produk ini diteruskan sebagai proses berterusan bagi memastikan khazanah seni budaya negeri ini terus mempunyai tempat dalam masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA