Dunia 03/10/2026 10:30 PM

Serangan RSF Di Sudan Ragut Nyawa Lebih 25 Orang Awam Di Kordofan Utara - Kumpulan Perubatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Serangan RSF Di Sudan Ragut Nyawa Lebih 25 Orang Awam Di Kordofan Utara - Kumpulan Perubatan
A woman carries a child outside a community kitchen in Khartoum, Sudan, Wednesday, Sept. 23, 2026, after receiving donated food. (AP Photo/Marwan Ali)

ISTANBUL, 3 Okt (Bernama-Anadolu) -- Serangan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengorbankan lebih 25 orang awam di kawasan Umm Badr di negeri Kordofan Utara, Sudan, menurut Rangkaian Doktor Sudan, lapor  Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, rangkaian bukan kerajaan itu berkata video yang tular di dalam talian menunjukkan anggota RSF membunuh orang awam di kawasan berkenaan.

Keseriusan insiden itu diburukkan lagi dengan petunjuk bahawa pembunuhan itu dilakukan atas dasar etnik, berteraskan alasan menuduh mangsa memihak kepada tentera Sudan, menurut kenyataan itu.

"Hukuman mati tanpa undang-undang terhadap orang awam merupakan jenayah berat dan pelanggaran ketara terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta standard hak asasi manusia," kata rangkaian itu.

Tindakan menyasar individu berdasarkan gabungan etnik atau sosial boleh mengancam kedamaian sosial serta menyemarakkan ucapan kebencian dan keganasan, katanya.

Kumpulan doktor itu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia untuk melancarkan siasatan bebas serta menuntut pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.

RSF tidak memberikan sebarang ulasan segera berhubung kenyataan itu. Walau bagaimanapun, kumpulan itu lazimnya mempertahankan bahawa mereka tidak menyasar orang awam - satu dakwaan yang dipertikaikan oleh pihak berkuasa Sudan dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa.

Baru-baru ini, tentera Sudan telah mara merentasi sebahagian besar Kordofan Utara susulan pertempuran dengan RSF dan mengumumkan bahawa ia telah menguasai 11 kawasan di negeri itu.

Sejak akhir Julai, tentera telah menguasai kawasan luas di Kordofan Utara selepas merampas semula bandar strategik Bara, serta kawasan Jabra al-Sheikh dan Umm Siyala, selain mengusai jalan nasional yang menghubungkan Bara dengan Omdurman, di barat ibu negara Khartoum.

Tiga negeri di wilayah Kordofan - Utara, Barat dan Selatan - menyaksikan pertempuran antara tentera dan RSF sejak Oktober lepas.

Sudan berdepan kancah peperangan antara tentera dan RSF sejak 2023, yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan kira-kira 13 juta orang menjadi pelarian, menurut anggaran PBB dan antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU