SEPANG, 3 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif tampil membantu peminat yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas ulang-alik pada hari kedua perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 hari ini.
Azhan Shafriman dan pasukannya dilihat berada di lapangan bagi menguruskan orang ramai serta mengagihkan air mineral kepada peminat yang menunggu bas, menurut hantaran yang dikongsikan di media sosial.
Seorang pengguna Threads, @fatinsurayaa_, berkata Azhan Shafriman dan pasukannya membantu mengawal orang ramai serta mengagihkan air mineral selepas beberapa pengunjung dilaporkan pengsan.
Seorang lagi pengguna, @nrfaofdiaries, memuji tindakan Azhan Shafriman yang tampil sendiri membantu peminat.
“Sejujurnya, melihat perkara ini membuatkan saya berasa sebak. Walaupun selepas segala yang berlaku, Ketua Pegawai Eksekutif SIC sendiri tampil menguruskan orang ramai dan mengagihkan air mineral kepada peminat yang memerlukan bantuan,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, @cxingt menyifatkan tindakan Azhan Shafriman sebagai contoh kepimpinan.
Terdahulu, satu hantaran di media sosial menunjukkan Azhan Shafriman berada di lapangan bagi memantau dan membantu melancarkan pergerakan bas ke litar ikonik Malaysia itu.
Beberapa peminat memuji pengurusan orang ramai dan lalu lintas yang lebih baik di SIC awal hari ini, dengan mengetengahkan barisan yang lebih lancar, lorong khusus untuk bas ulang-alik serta kehadiran lebih ramai petugas, marshal dan polis.
Reaksi positif itu hadir sehari selepas pengguna media sosial sebelum ini mendedahkan kesesakan ketika meninggalkan SIC, dengan sesetengah daripada mereka melaporkan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas ulang-alik ke kawasan parkir dan hab pengangkutan berdekatan.
Pada Julai, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu bagi mengekalkan GP Bahrain dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.
-- BERNAMA