Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
NAGOYA, 3 Okt (Bernama) -- Impian Malaysia untuk melakar sejarah dengan meraih pingat emas ke-10 pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian selepas dua peluang terakhir menerusi sukan padel dan hoki lelaki berakhir dengan pingat perak hari ini.
Gandingan Christian Didier Chin-Aidan Yunus menyumbangkan perak menerusi acara padel beregu lelaki sebelum skuad hoki negara akur dengan kekalahan 1-5 kepada juara bertahan India pada aksi final di Gifu Prefectural Green Stadium.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menutup hari ke-15 dengan sembilan pingat emas, menyamai pencapaian terbaik negara yang dicatat pada Sukan Asia Guangzhou 2010, namun gagal memperbaharui rekod berkenaan.
Bagi acara padel, Christian-Aidan terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas 3-6, 1-6 kepada pasangan pilihan utama dari Qatar Mashari Naif-Rashed Naif pada final di Nagoya City Higashi Sports Center.
Pingat itu bagaimanapun mencipta sejarah tersendiri buat Malaysia memandangkan sukan padel membuat penampilan sulung pada Sukan Asia kali ini.
Harapan terakhir untuk emas ke-10 disandarkan kepada skuad hoki lelaki negara Speedy Tigers, namun mereka gagal menumbangkan India yang tampil sebagai juara bertahan.
India membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti sebelum terus menguasai permainan untuk mencatat kemenangan 5-1, sekali gus mempertahankan kejuaraan hoki lelaki Sukan Asia dan memperoleh tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia sekali lagi terlepas peluang menggunakan Sukan Asia sebagai laluan automatik ke Sukan Olimpik selepas turut menamatkan saingan sebagai naib juara pada edisi 2010 dan 2018.
Walaupun gagal menambah emas pada hari ini, kempen Aichi-Nagoya menyaksikan Malaysia menyamai kutipan terbaiknya dalam sejarah penyertaan di Sukan Asia.
-- BERNAMA