Dunia 04/10/2026 12:59 AM

Russell Yakin Keputusan Kelayakan Yang Lemah Tidak Jejas Peluangnya Di Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Russell Yakin Keputusan Kelayakan Yang Lemah Tidak Jejas Peluangnya Di Malaysia
Pemandu Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team, George Russell.

SEPANG, 3 Okt (Bernama-PA Media/dpa) -- George Russell menegaskan kedudukan petak mulanya yang teruk tahun ini bagi Perlumbaan Grand Prix Bahrain pada Ahad "bukan segala-galanya" – seminggu selepas kemenangan cemerlangnya di Azerbaijan memberi ruang kepadanya dalam persaingan kejuaraan dunia, lapor PA Media/dpa.

Russell merapatkan jurang 15 mata dengan pendahulu Kimi Antonelli menerusi kemenangan dominan di litar jalanan Baku untuk mengurangkan kelebihan gelaran rakan sepasukannya di Mercedes itu kepada 66 mata dengan baki 208 mata masih boleh direbut.

Namun, beliau akan memulakan perlumbaan pusingan Manama yang dijadualkan semula pada Ahad – yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia akibat konflik di Asia Barat – empat petak di belakang pencabarnya.

Max Verstappen meraih petak pertama pertamanya tahun ini dan beliau akan disertai pemandu Ferrari, Lewis Hamilton di barisan hadapan. Isack Hadjar menduduki tempat ketiga kelayakan tetapi diturunkan lima petak kerana menggunakan komponen enjin baharu. Hukuman itu menaikkan Antonelli ke petak ketiga dan Russell ke petak ketujuh.

Mercedes berkemungkinan mengharapkan naik taraf terbesar mereka dalam tempoh empat bulan dapat melonjakkan mereka lebih jauh ke hadapan. Sebaliknya, mereka mencatatkan prestasi satu pusingan paling mengecewakan setakat ini.

Kedudukan petak mula yang kurang memberangsangkan itu akan menimbulkan persoalan besar mengenai keberkesanan naik taraf mereka. Russell juga akan memikirkan prestasinya sendiri selepas menamatkan saingan 0.240 saat di belakang Antonelli walaupun mempunyai satu lagi percubaan berbanding pencabarnya pada sesi kelayakan Q3 yang menentukan.

Bagaimanapun, menjelang perlumbaan sulung Formula 1 di Malaysia sejak 2017, Russell yang optimis berkata: "Banyak perkara akan berlaku esok. Kadar haus tayar sangat tinggi dan kelajuan perlumbaan akan menjadi penentu utama, jadi walaupun hari ini sangat mengecewakan, ia bukan segala-galanya.

"Litar ini unik dari segi kekasaran permukaan tar. Masa pusingan sembilan tahun lepas adalah enam atau tujuh saat lebih pantas, dan pada titik tertentu, ia terasa seperti memandu di atas jalan berturap batu kerikil. Ia sama untuk semua orang, tetapi jelas lebih menjejaskan kami berbanding yang lain.

"Sebagai sebuah pasukan, kami belum pernah mengalami  perlumbaan yang teruk sepanjang musim ini dan ini jelas merupakan sesi kelayakan yang sangat buruk bagi kami. Semua data menunjukkan naik taraf ini adalah satu penambahbaikan tetapi kita perlu mengikut masa pusingan, bukan apa yang ditunjukkan oleh angka. Angka itu kelihatan sangat baik dan seiring dengan jangkaan. Namun, hasilnya tidak begitu."

Keputusan sama tidak terpakai bagi Verstappen. Pemandu Belanda itu berada di kelas tersendiri pada Sabtu dan beliau dijangka memanfaatkan petak pertama pertamanya sejak perlumbaan penutup di Abu Dhabi pada Disember lepas untuk meraih kemenangan pertamanya pada 2026.

Hamilton pula melalui rentetan keputusan kurang memuaskan baru-baru ini dengan desas-desus mengenai masa depan Prinsipal Pasukan Ferrari, Fred Vasseur masih berlegar. Hamilton kini ketinggalan 103 mata dalam persaingan kejuaraan.

Bagaimanapun, Hamilton memanfaatkan permulaan barisan hadapan terakhirnya – di Grand Prix Barcelona pada Jun – untuk meraih satu-satunya kemenangan dalam kerjayanya bersama Ferrari.

Pelumba berusia 41 tahun itu, yang ketinggalan 0.298 saat di belakang Verstappen berkata: "Saya akan cuba sejauh mungkin untuk bersaing dengan Max esok, dan jika kami berada dalam persaingan itu, ia adalah sesuatu yang hebat. Saya terlalu banyak bercakap tetapi saya rasa anda akan bercakap lebih banyak apabila anda gembira.

"Ini adalah pusingan terbaik saya tahun ini. Ia terasa seperti saya telah menang dan saya akan berikan segalanya esok."

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa