Am 04/10/2026 12:30 AM

Rumah Baharu Umpama Hadiah Krismas Buat Patricia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rumah Baharu Umpama Hadiah Krismas Buat Patricia
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong (tiga, kanan) menandatangani plak perasmian rumah baharu di bawah Projek Mesra Rakyat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diserahkan kepada warge emas, Patricia De Roche, 82, (duduk) pada majlis penyerahan rumah berkenaan di Kampung Portugis.

MELAKA, 3 Okt (Bernama) -- Rumah baharu bernilai RM98,000 yang diterima di bawah Projek Mesra Rakyat Tenaga Nasional Berhad (TNB), ibarat hadiah tidak ternilai buat warga emas Patricia De Roche bersempena dengan Hari Krismas yang bakal disambut pada Disember.

Patricia, 82, yang menetap di Kampung Portugis di sini berkata beliau tidak pernah mengimpikan untuk mendapat sebuah rumah baharu yang lebih selesa dan selamat, bagi menghabiskan sisa hidupnya itu.

Beliau berkata rumah baharu itu dibina di tapak lama rumah miliknya yang diperbuat daripada kayu dan telah didiami sejak lebih 60 tahun lepas.

“Rumah lama sebelum ini diperbuat daripada kayu dan telah usang dan banyak kerosakan, selain sering dimasuki air apabila banjir atau air pasang sehingga menyebabkan banyak perabot seperti tilam dan perabot rosak.

“Saya berasa sangat gembira dan terharu apabila ada pihak yang prihatin dengan nasib saya dan membina rumah baharu untuk saya tinggal...ibarat hadiah Krismas buat saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Rumah MeSRa Rakyat TNB yang disempurnakan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan turut dihadiri Timbalan Pengurus Besar TNB Melaka Samsul Harul Anuar.

Patricia yang tinggal bersama dengan tiga anak dan seorang cucu di rumah baharu itu, turut mengucapkan terima kasih kepada TNB, kerana menyediakan tempat berlindung yang lebih selesa untuknya dan keluarga.

“Saya masuk dan tinggal di rumah ini sejak semalam dan bersyukur kerana sangat selesa…tidak pernah terfikir akan dapat rumah baharu pada usia ini," katanya.

Sementara itu, Khoo berkata Patricia yang merupakan seroang daripada penerima e-kasih, bukan sahaja menerima rumah baharu tetapi juga beberapa peralatan elektrik dan perabot bernilai RM5,000 untuk rumah berkenaan.

Beliau berkata rumah berkenaan mula dibina pada 1 Julai dan siap kira-kira dua minggu dan merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat TNB.

“Proses kelulusan untuk pembinaan rumah berkenaan oleh pihak TNB mengambil masa yang sangat singkat sekitar tiga bulan sebelum projek dimulakan iaitu pada 1 Julai lepas," katanya.

Khoo berkata sehubungan itu, lebih banyak syarikat korporat untuk membantu kerajaan dalam merealisasikan pelbagai projek melibatkan bantuan dan kebajikan untuk rakyat.

-- BERNAMA