Am 03/10/2026 11:08 PM

Jualan Agro MADANI Mega @ Rompin Sasar Nilai Jualan RM500,000

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jualan Agro MADANI Mega @ Rompin Sasar Nilai Jualan RM500,000
fb FAMA Negeri Pahang

ROMPIN, 3 Okt (Bernama) -- Jualan Agro MADANI (JAM) Mega @ Rompin yang berlangsung di Pantai Hiburan di sini sejak semalam menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung dengan nilai jualan RM500,000 sepanjang tiga hari penganjurannya.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Faisal Iswardi Ismail berkata sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima daripada orang ramai pada hari pertama dan kedua.

“Berdasarkan prestasi semalam dan hari ini, kita lihat ramai pengunjung yang hadir dan kita menjangkakan sasaran ini dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra program jualan itu di sini hari ini.

Beliau berkata JAM Mega @ Rompin merupakan penganjuran keenam daripada 10 lokasi JAM Mega yang dilaksanakan pihaknya sepanjang tahun ini, dengan lokasi seterusnya di Taman Shahbandar, Kuala Terengganu dari 21 hingga 25 Okt.

Faisal Iswardi berkata program sama turut akan dilaksanakan di Melaka pada hujung bulan ini dan Sarawak pada November sebelum lokasi terakhir di Johor.

Beliau berkata penganjuran di Rompin kali ini merupakan antara usaha FAMA memperluas pelaksanaan JAM Mega ke kawasan luar bandar selain menawarkan barangan agromakanan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Penganjuran ini satu daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Pada satu-satu masa kita juga mengadakan program Happy Hour seperti jualan kombo yang mengandungi ayam, telur, sayur-sayuran, daging dan bawang yang nilai asalnya RM30 tetapi dijual hanya RM5,” katanya.

Faisal Iswardi berkata pelaksanaan JAM bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna melalui penjimatan harga, tetapi juga menyediakan ruang pasaran tambahan kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

Beliau berkata sebanyak 3,008 penganjuran JAM di seluruh negara telah dilaksanakan dari Januari hingga 30 Sept lepas daripada sasaran 4,457 penganjuran sepanjang tahun ini.

Jumlah berkenaan setakat ini telah menjana nilai jualan RM70.45 juta dan memberikan penjimatan sebanyak RM23.57 juta kepada pengguna melalui tawaran harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah bagi produk terpilih.

“Program ini telah memberi manfaat kepada lebih 16 juta isi rumah atau rakyat, selain melibatkan hampir 50,000 usahawan setakat ini. Ini satu perkembangan yang positif kerana selain menawarkan harga berpatutan kepada pengunjung, kita juga menyediakan ruang pasaran tambahan kepada usahawan,” katanya.

Beliau berkata sasaran keseluruhan JAM bagi tahun ini ialah 4,457 penganjuran dengan nilai jualan RM94.4 juta hingga Disember.

Mengenai isu kenaikan harga telur, beliau berkata FAMA menggunakan pelaksanaan JAM sebagai antara mekanisme membantu pengguna mendapatkan bekalan telur pada harga berpatutan, termasuk menawarkan penjimatan RM2.50 sepapan berbanding harga pasaran.

Faisal Iswardi berkata FAMA juga mempunyai 42 pusat operasi di seluruh negara yang berperanan dalam pengedaran telur ke outlet FAMA bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan berkenaan.

-- BERNAMA