Am 03/10/2026 10:51 PM

KSN Sertai Kemeriahan "Colours Of Parade" Sempena Citrawarna Speed Festival 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KSN Sertai Kemeriahan
fb IOI City Mall

PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar malam ini menyertai kemeriahan Colours of Parade sempena Citrawarna Speed Festival 2026 yang menampilkan persembahan gabungan seni, muzik, tarian dan warisan pelbagai negeri serta komuniti utama negara.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku sebelum disusuli dengan persembahan oleh 1,500 penari dan penghibur dari seluruh negara bagi menyerlahkan kekayaan warisan, tradisi dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man, Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Manoharan Periasamy serta Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulan IOI Datuk Lee Yeow Chor.

Shamsul Azri bersama tetamu kenamaan meluangkan masa kira-kira dua jam menyaksikan perarakan yang berlangsung meriah, dengan persembahan penuh warna-warni dan bertenaga menerusi muzik tradisional, tarian, busana serta paparan kepelbagaian budaya, mewakili tradisi masyarakat dari seluruh negara.

Keunikan Colours of Parade turut diserlahkan menerusi persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli, Cina, India, Sikh dan Siam, termasuk persembahan perkusi serta pasukan pancaragam Nusantara yang dinamik mencerminkan identiti Malaysia yang berbilang budaya.

Citrawarna Speed Festival 2026, yang menggabungkan kekayaan seni budaya Malaysia dengan kemeriahan sukan permotoran bermula secara rasmi dari 23 Sept hingga 4 Okt.

Penganjuran Citrawarna Speed Festival 2026 adalah hasil kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta bersama rakan kongsi daripada industri pelancongan, hospitaliti dan kebudayaan, dalam memperkukuh daya tarikan pelancongan negara sepanjang kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026-2027.

Penganjuran itu turut menyokong momentum positif sektor pelancongan negara yang merekodkan 28.8 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat 1.8 peratus berbanding 28.2 juta dalam tempoh sama pada 2025 manakala pelancongan domestik mencatatkan 151.6 juta pergerakan pelawat pada separuh pertama 2026, meningkat 5.6 peratus berbanding 143.5 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Sebagai penutup festival esok, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pengaktifan Lamborghini khas di IOI City Mall di sini yang menghimpunkan kira-kira 100 kenderaan Lamborghini. 

Tarikan itu melengkapkan konsep unik Citrawarna Speed Festival 2026 yang menggabungkan warisan budaya dengan elemen sukan permotoran bagi memperlihatkan kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dan kaya dengan tarikan.

Festival berkenaan berlangsung di tiga lokasi utama, iaitu IOI City Mall, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Hotel Sama-Sama KLIA.

-- BERNAMA