NAIROBI (Kenya), 3 Okt (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan bersenjata yang bersekutu dengan Kerajaan Persekutuan Ethiopia pada Sabtu mendakwa telah menawan lapangan terbang utama Mekelle, ibu negeri Wilayah Tigray di utara, ketika pasukan kerajaan terus mara ke wilayah berkenaan susulan pertempuran sengit yang berlarutan lebih seminggu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pasukan Keamanan Tigray mengumumkan ia telah menguasai Lapangan Terbang Alula Aba Nega dan sedang mara ke Mekelle, menandakan perkembangan utama dalam serangan balas kerajaan terhadap perikatan yang diketuai Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).
"Kami telah mengambil alih kawalan penuh Lapangan Terbang Alula Aba Nega Mekelle. Kami kini sedang membersihkan Bandar Mekelle.
Keamanan semakin hampir memandangkan pemimpin TPLF telah melarikan diri ke arah Eritrea," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di X.
Bagaimanapun, dakwaan bahawa pemimpin TPLF telah melarikan diri ke arah Eritrea tidak dapat disahkan secara bebas.
Pasukan Kerajaan Ethiopia juga telah mengambil alih kawalan lapangan terbang berkenaan, menurut sumber yang arif mengenai situasi ketenteraan, namun pejabat Perdana Menteri Abiy Ahmed belum memberikan ulasan secara terbuka berhubung perkembangan terkini itu.
Lapangan Terbang Alula Aba Nega berada di bawah kawalan tentera Tigray sejak ketegangan besar terkini bermula pada September.
Pasukan Tigray menguasai lapangan terbang di Mekelle dan Shire pada 23 Sept, manakala Lapangan Terbang Axum turut dilaporkan jatuh ke tangan mereka. Ethiopian Airlines seterusnya menggantung penerbangan ke ketiga-tiga destinasi berkenaan.
Kemaraan terkini itu susulan serangan balas pantas oleh pasukan persekutuan dan pejuang bersekutu menuju ke Mekelle.
TPLF adalah sebahagian daripada perikatan kumpulan pembangkang bersenjata yang lebih luas dan melancarkan serangan terhadap kedudukan kerajaan minggu lepas, sekali gus membuka beberapa barisan hadapan di utara Ethiopia.
Permusuhan yang tercetus semula ini mewakili ketegangan paling serius sejak perang 2020-2022 antara Kerajaan Persekutuan Ethiopia dan pasukan Tigray.
-- BERNAMA-ANADOLU