Am 03/10/2026 06:01 PM

Peruntukan RM60,000 Kepada 12 PIBG Sekolah Nibong Tebal Bagi Persediaan Calon SPM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Peruntukan RM60,000 Kepada 12 PIBG Sekolah Nibong Tebal Bagi Persediaan Calon SPM
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL, 3 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM60,000 diperuntukkan kepada 12 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menengah dalam Parlimen Nibong Tebal bagi melaksanakan program persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata setiap PIBG menerima RM5,000 bagi membantu meningkatkan persediaan calon SPM di sekolah masing-masing.

"Pagi tadi saya mulakan hari di Nibong Tebal dengan sarapan bersama pengetua sekolah menengah dan pengerusi PIBG dari 12 sekolah dalam Parlimen Nibong Tebal. Saya umumkan RM5,000 kepada PIBG setiap sekolah untuk melaksanakan program bersama anak-anak SPM, keseluruhannya RM60,000.

"Gunakan sebaiknya untuk anak-anak kita, peperiksaan makin dekat dan kita bantu mana yang boleh supaya mereka masuk ke dewan peperiksaan nanti dengan persediaan yang lebih baik," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata pertemuan itu juga bertujuan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pihak sekolah mengenai masalah yang dihadapi serta keperluan tambahan bagi membantu pelajar.

"Saya sengaja mahu berjumpa secara bersemuka dengan sekolah-sekolah yang mempunyai calon SPM. Seorang demi seorang saya minta mereka cerita apa masalah yang sedang dihadapi dan apa lagi yang boleh kita bantu untuk anak-anak," katanya.

Fadhlina berkata terdapat perkara yang boleh diusahakan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal dan ada yang perlu dibawa ke peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), namun yang penting tiada sebarang isu atau masalah disimpan atau “disorok”.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengetua dan pengerusi PIBG yang berkongsi secara terbuka dan memaklumkan segala maklum balas yang diterima akan diambil tindakan mengikut keperluan.

-- BERNAMA