Am 03/10/2026 06:01 PM

GP Gulf Air Bahrain: Verstappen Terpantas, Raih Petak Utama Di Sepang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
GP Gulf Air Bahrain: Verstappen Terpantas, Raih Petak Utama Di Sepang
Pemandu Oracle Red Bull Racing, Max Verstappen beraksi pada latihan bebas kedua sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.

SEPANG, 3 Okt (Bernama) -- Pelumba Red Bull Racing Max Verstappen meraih petak utama perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, di sini hari ini.

Juara dunia empat kali itu mempamerkan kepantasan di litar ikonik negara apabila mengungguli sesi kelayakan dengan catatan 1 minit 35.130 saat (s) dalam keadaan cuaca baik.

Keputusan itu meletakkan pelumba Belanda berusia 29 tahun berkenaan di landasan tepat untuk meneruskan penguasaannya di Litar Sepang selepas turut menjuarai GP Malaysia edisi terakhir pada 2017.

Juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton dari Ferrari pula akan memulakan perlumbaan esok di sebelah Verstappen pada barisan hadapan selepas mencatat 1:35.428s.

Sementara itu, rakan sepasukan Verstappen di Red Bull Racing, Isack Hadjar meraih petak ketiga dengan catatan 1:35.558s.

Pendahulu semasa kejuaraan dunia Kimi Antonelli dari Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team akan memulakan perlumbaan di petak keempat selepas mencatat 1:35.631s, manakala pelumba Ferrari Charles Leclerc di petak kelima (1:35.666s).

Juara dunia bertahan Lando Norris dari McLaren pula meraih petak keenam dengan catatan 1:35.757s, diikuti rakan sepasukannya Oscar Piastri di tempat ketujuh (1:35.762s).

Sementara itu, George Russell dari Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team berdepan sesi kelayakan kurang memberangsangkan apabila pelumba berusia 28 tahun itu sekadar meraih petak kelapan selepas mencatat 1:35.871s.

Pelumba Alpine Pierre Gasly menduduki petak kesembilan dengan catatan 1:36.410s, manakala pelumba Brazil Gabriel Bortoleto dari Audi melengkapkan kelompok 10 terbaik (1:36.814s).

Perlumbaan GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 dijadual bermula 3 petang esok.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar 2026 selepas perlumbaan berkenaan yang dijadualkan berlangsung awal musim ini dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia sebelum ini menganjurkan GP Malaysia di Litar Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan berkenaan digugurkan daripada kalendar F1.

-- BERNAMA