Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Penggiat industri kreatif memohon kerajaan mengekalkan serta menambah baik dana dan insentif sedia ada dalam belanjawan akan datang, selain menyemak semula kadar bayaran penerbitan program televisyen yang disifatkan tidak lagi realistik dengan lonjakan kos semasa.
Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Datuk Dr Yusof Haslam berkata insentif dan bantuan kerajaan wajar dikekalkan tanpa sebarang pemotongan demi memelihara kelangsungan ekosistem industri kreatif tempatan.
“Saya berharap kerajaan pandang benda ini dari sudut yang positif, supaya segala bantuan yang diberi sebelum ini untuk industri ini dikekalkan. Kalau ada potongan (sebolehnya) elakkan,” katanya ketika menjadi tetamu program On E terbitan Bernama TV bertajuk Impak Sokongan Belanjawan Buat Perfileman di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Pada masa sama, Yusof mengingatkan penggiat seni agar memikul amanah serta berintegriti dalam menguruskan sebarang geran atau peruntukan yang diterima daripada kerajaan.
“Pembikin filem harus bertanggungjawab, menghabiskan filem itu dengan bajet yang diberi dan kena serius. Jangan gunakan dana ini sebagai satu platform untuk buat duit bagi kepentingan diri,” katanya.
Mengulas Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), Yusof berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar berjaya menarik minat syarikat produksi antarabangsa, malah menjadi tulang belakang penghasilan karya patriotik berskala besar seperti MALBATT: Misi Bakara.
Dalam pada itu, beliau merayu agar kadar bayaran perolehan program televisyen, khususnya menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), dikaji semula selari dengan peningkatan kos semasa selepas tidak menyaksikan anjakan ketara sejak hampir empat dekad lalu.
“Saya menerbitkan drama televisyen sejak 1985, masa itu kos drama TV dalam RM40,000 dan selepas 40 tahun, peningkatan hanya sekitar RM10,000. Sepatutnya setiap 10 tahun perkara ini dikaji balik kerana kalau RTM boleh naikkan harga, syarikat swasta lain akan ikut,” katanya.
Sementara itu, penerbit filem Nazira Ibrahim berpendapat sektor kreatif merupakan satu ekosistem menyeluruh yang memerlukan sokongan konsisten, terutamanya dalam aspek pemasaran dan pengedaran filem bagi membantu produksi berskala kecil.
“Kadang-kadang kita ada produk dan cerita yang bagus, tetapi hendak sampai kepada penonton kita tiada jalan untuk pemasaran dan pengedaran. Jika kerajaan boleh bantu dalam mekanisme ini, ia dapat menaikkan taraf filem kita secara jelas sampai pada penonton tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Mengulas peruntukan RM10 juta bagi TVET MADANI Multimedia Kreatif, Nazira memohon agar latihan praktikal di lokasi penggambaran diberi keutamaan berbanding teori semata-mata bagi melahirkan tenaga kerja teknikal di belakang tabir yang berkemahiran tinggi.
“Kemahiran ini bukan sahaja di depan kamera seperti pelakon, penulis skrip, dan pengarah, tetapi sama penting di belakang skrin seperti pengendali kamera, pencahayaan, kesan visual, pascaproduksi dan sistem bunyi.
“Pendedahan teori itu tak cukup. Pelajar perlu ada pendedahan latihan industri dengan produksi, hadir ke lokasi untuk melihat sendiri bagaimana sesebuah produksi itu berfungsi,” katanya.
Menerusi belanjawan sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM110 juta sebagai insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa bagi menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia.
Inisiatif tersebut merangkumi peruntukan khusus RM10 juta bagi penerbitan kandungan kenegaraan sebagai komitmen memperkasa ekosistem ekonomi jingga.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Okt ini.
-- BERNAMA