Am 03/10/2026 04:34 PM

Pengamal Media Jadi Mata Dan Telinga Kerajaan Negeri, Pastikan Maklumat Tepat - Exco Perak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengamal Media Jadi Mata Dan Telinga Kerajaan Negeri, Pastikan Maklumat Tepat - Exco Perak
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching (tengah) bergambar sempena Program Memancing: "Yb Sandrea Bersama Media 2026" di Aisha DNI Agro Resort di sini, hari ini.

IPOH, 3 Okt (Bernama) -- Pengamal media memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga Kerajaan Negeri Perak, dalam mengetengahkan isu yang memerlukan perhatian serta tindakan segera demi kepentingan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata peranan itu semakin mencabar, berikutan pengamal media perlu mendapatkan maklumat dengan pantas, selain memastikan setiap laporan yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat.

“Setiap hari banyak program perlu dihadiri, tidak boleh terlepas berita yang telah diamanahkan. Ada informasi perlu cari, ambil gambar sudut yang cantik, malah perlu tepat dan cepat.

“Ini memang satu cabaran besar kepada pengamal media yang saya nampak pada waktu ini,” katanya ketika berucap pada Program Jom Mancing: YB Sandrea Bersama-sama Media 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata cabaran komunikasi turut timbul apabila isu kompleks perlu diterangkan kepada masyarakat dalam bentuk yang ringkas, tepat dan mudah difahami.

Sandrea berkata masyarakat kini lebih cenderung menerima maklumat dalam bentuk ringkas, sedangkan sesetengah isu memerlukan konteks dan penerangan lebih terperinci bagi mengelakkan salah faham.

“Banyak isu kompleks yang kita perlukan masa untuk jelaskan konteks, latar belakang mengapa kerajaan buat sesuatu keputusan, tetapi realitinya pada hari ini rakyat lebih biasa dan suka untuk menerima informasi ringkas sahaja,” katanya.

Beliau berkata satu ayat, tajuk atau gambar yang tular dengan pantas, berpotensi membentuk persepsi masyarakat tanpa menggambarkan keadaan sebenar.

Dalam pada itu, Sandrea berkata media turut membantu kerajaan negeri mengenal pasti isu yang dekat dengan kehidupan seharian rakyat, khususnya berkaitan portfolio perumahan dan kerajaan tempatan seperti masalah sampah, longkang, lampu jalan, perumahan dan pasar.

“Terima kasih kerana para rakan media selalu menjadi mata dan telinga kepada kerajaan negeri, dengan membawa isu yang perlu kita beri perhatian serta diambil tindakan atau membuat penambahbaikan secepat mungkin.

“Hubungan baik antara kerajaan negeri dan media perlu diteruskan bagi memastikan kedua-dua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam membantu membentuk masa depan masyarakat," katanya.

Sementara itu, program berkenaan disertai pengamal media daripada pelbagai agensi media seperti Bernama, Utusan Malaysia, Harian Metro, RTM dan lain-lain agensi di Perak, serta turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) Sayed Mohd Hisham Syed Idris.

-- BERNAMA