JOHOR BAHRU, 3 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berharap agar peruntukan Belanjawan 2027 dipertingkatkan bagi memperkasakan lagi perkhidmatannya.
Pengerusinya Hee Loy Sian (subs:He) berkata peningkatan itu penting selaras dengan usaha memelihara alam sekitar, menangani isu pencemaran serta memastikan pengurusan sisa pepejal diuruskan dengan lebih sistematik dan teratur.
Beliau berkata SWCorp dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima sebanyak RM1.5 bilion daripada kerajaan pada tahun ini bagi melaksanakan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di tujuh negeri termasuk Johor mengikut Akta 672.
“Kita harap untuk negeri lain seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kelantan juga akan menerapkan akta ini supaya semua 12 negeri ini kita pimpin, agar pembersihan awam dan pengurusan sampah semua (berada) di bawah KPKT pada masa akan datang.
“Justeru kita harap bajet akan ditingkatkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) : Karnival Komuniti MADANI di Taman Bistari Perdana, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah SWCorp Negeri Johor Zainal Fitri Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan Belanjawan 2027 yang akan dibentang pada 9 Okt ini.
Hee berkata pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang teratur dan cekap dapat memastikan persekitaran alam sekitar sentiasa terjaga.
“Kalau sampah tidak dijaga dengan teratur, dia akan memberi masalah kepada persekitaran alam sekitar. Termasuk kemungkinan pencemaran sungai kerana tapak sampah haram yang tidak diurus dengan teratur, air mengalir dan akhirnya sungai-sungai sumber air akan tercemar serta juga udara,” katanya.
Ketika ditanya mengenai jerebu, Hee mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika negara berdepan dengan jerebu, sekali gus menjelaskan pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengekang aktiviti berkenaan.
Sementara itu, Hee berkata PKKB yang dilaksanakan di Taman Bistari Perdana itu adalah bertujuan untuk memperkukuh penglibatan masyarakat dalam membudayakan kebersihan, pengurusan sisa dan kelestarian persekitaran.
Beliau berkata perubahan yang dibawa melalui PKKB perlu diterjemahkan kepada amalan harian secara konsisten serta berharap agar program seumpama itu terus menjadi platform yang menyatukan komuniti, kerakjaan dan industri dalam membentuk perubahan berterusan dan menterjemah agenda Bandar Bersih Johor 2030.
-- BERNAMA