Am 03/10/2026 03:23 PM

RM200,000 Perkukuh Kemudahan, Akses Digital SMK Berangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RM200,000 Perkukuh Kemudahan, Akses Digital SMK Berangan
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Hashim Wan Rahim (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pelajar yang menerima sumbangan tablet pada Majlis Perasmian Penutup Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, hari ini.

TUMPAT, 3 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi kera penyelenggaraan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan di sini, dalam usaha memperkukuh kemudahan pendidikan dan memastikan keselesaan warga sekolah.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata selain peruntukan penyelenggaraan berkenaan, sekolah tersebut turut menerima 10 komputer riba bernilai RM26,000 sumbangan Palo Alto Networks Malaysia serta sebuah papan pintar bernilai RM10,000 daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

Beliau berkata sumbangan berkenaan turut melibatkan 16 tablet Samsung bernilai RM1,200 setiap satu daripada Yayasan Didik Negara untuk pelajar cemerlang di Kampung Bunut Sarang Burong, selain bahan bacaan dan buku daripada Institut Terjemahan Buku Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Anggaplah sumbangan ini bukan sekadar bantuan, tetapi pemangkin untuk membuka lebih banyak peluang pendidikan dan meningkatkan kualiti kehidupan anak-anak kita serta komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung di SMK Berangan, di sini hari ini.

Wan Hashim berkata KPM komited memastikan tiada jurang pendidikan antara anak-anak di luar bandar dan bandar, terutama dari segi akses kepada pendidikan berkualiti.

Beliau berkata pendidikan bukan hanya berlaku di dalam bilik darjah, sebaliknya tanggungjawab bersama yang melibatkan sekolah, keluarga, komuniti, agensi kerajaan dan rakan strategik.

Dalam pada itu, beliau berkata program Santuni MADANI memberi ruang kepada pemimpin untuk turun mendekati masyarakat, mendengar pandangan serta memahami keperluan sebenar komuniti secara lebih dekat.

Wan Hashim berharap sekolah yang terlibat terus cemerlang dan pada masa sama menjadi pusat komuniti yang dekat di hati masyarakat.

-- BERNAMA