Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Filem cereka Tamil Malaysia, Irumbuth Thottam -Ladang Besi, arahan pengarah baharu Jaydev Jayakumar, bakal ditayangkan di pawagam Australia bulan ini, sekali gus membuka ruang baharu untuk filem Tamil tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Filem bergenre drama penyiasatan jenayah terbitan AVLT Production dan Jegen John Peter itu berdurasi 114 minit dan akan ditayangkan menerusi Melbourne Malaysian Indian Cultural Club (MMICC).
Berlatarkan Sri Tebong di Melaka, filem itu mengisahkan siasatan polis terhadap kes pembunuhan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang membawa kepada pembongkaran rahsia keluarga serta bukti tersembunyi.
“Filem ini sangat dekat di hati saya kerana dihasilkan di kampung halaman saya dengan sokongan dan penglibatan masyarakat setempat. Peluang membawa filem ini kepada penonton di Australia merupakan satu pencapaian yang bermakna buat semua yang terlibat,” kata Jaydev dalam kenyataan kepada Bernama.
Selain itu, filem tersebut juga katanya memperlihatkan keupayaan pembikin filem Malaysia menghasilkan kisah dengan latar tempatan untuk tontonan masyarakat di luar negara.
Menggunakan bahasa Tamil dan Melayu sebagai perantara, filem itu menampilkan pelakon Irfan Zaini, Logavarman Stideran, Marie Dashani Matthews, Mohana Raj, Dhurgaashini S Vijyan dan Vino Shan.
Penggambaran filem itu dilakukan sepenuhnya di Tebong, Melaka, dengan lebih 50 penduduk terlibat sebagai pelakon sokongan dan pelakon tambahan.
-- BERNAMA