Am 03/10/2026 02:30 PM

AKPK Sambut Ulang Tahun Ke-20, Perkukuh Kerjasama Strategik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AKPK Sambut Ulang Tahun Ke-20, Perkukuh Kerjasama Strategik
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azman Hasim (duduk, tengah) bergambar bersama rakan strategik dan pegawai AKPK pada Majlis Ulang Tahun Ke-20 AKPK di sebuah hotel hari ini.

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya dengan melancarkan program “Rencah Kita Pelbagai Rasa, Satu Makna” bagi memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik agensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azman Hasim berkata program cabaran memasak dengan kerjasama M Resort & Hotel itu melibatkan 30 agensi yang turut bertujuan memupuk silaturahim, kepercayaan dan semangat berpasukan.

"Hasil paling utama hari ini bukanlah sekadar menentukan hidangan yang menjadi pemenang, sebaliknya nilai hubungan dan kenangan yang kita bina bersama sepanjang cabaran ini," katanya pada program itu di sini, hari ini.

Beliau berkata aktiviti memasak ibarat kerja secara berpasukan yang memerlukan pelbagai ramuan, latar belakang serta kepakaran yang digabungkan bagi mencapai matlamat utama, iaitu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Setiap daripada kita menyumbang kepakaran masing-masing demi berkhidmat kepada negara bersama dengan AKPK.

“Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri, namun kehadiran kita hari ini menunjukkan bahawa kita hanya mempunyai satu matlamat yang sama, iaitu berkhidmat kepada masyarakat Malaysia,” katanya.

Azman berkata acara tahunan yang dianjurkan dengan pelbagai aktiviti dan konsep berbeza setiap tahun itu turut menghargai sokongan berterusan pelbagai pihak dan menjadi titik tolak untuk AKPK terus maju pada masa hadapan.

Antara rakan strategik AKPK yang hadir menjayakan program itu ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Bank Berhad (CIMB), Public Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd dan AmBank (M) Bhd.

-- BERNAMA