KOTA TINGGI, 3 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan berhubung bentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk yang berhasrat menggunakan lambang gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara berkenaan bagaimanapun perlu bersandarkan kepada ketetapan dasar dan keputusan pucuk pimpinan tertinggi BN.
"Saya jawab dari segi umum, kalau katakanlah mana-mana pihak yang bersedia untuk bertanding menggunakan logo BN, sangat kita alu-alukan.
"… tetapi (ia) bersandarkan kepada keputusan-keputusan pokok (kepimpinan)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Asrama Anak-anak Yatim Islam di sini hari ini.
Dewan Undangan Negeri Melaka yang mempunyai 28 kerusi dibubarkan berkuat kuasa pada 23 Sept lepas bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Okt ini bagi membincangkan urusan PRN berkenaan termasuk tarikh-tarikh penting seperti hari penamaan calon serta hari pengundian.
-- BERNAMA