Am 03/10/2026 02:10 PM

Program Wira MADANI Perkukuh Semangat Setia Petugas KDN Di Labuan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Program Wira MADANI Perkukuh Semangat Setia Petugas KDN Di Labuan

LABUAN, 3 Okt (Bernama) -- Program Wira MADANI menjadi platform untuk memperkukuh semangat setia kawan, kerja berpasukan dan hubungan antara agensi penguat kuasa yang lebih erat, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Dr Awang Alik Jeman.

Beliau berkata program yang menghimpunkan warga kerja daripada pelbagai agensi di bawah KDN itu bukan sahaja bertujuan memupuk hubungan baik dalam kalangan petugas, tetapi juga meningkatkan semangat kebersamaan di luar persekitaran kerja rasmi mereka.

"Walaupun petugas berkhidmat di agensi berlainan dan menjalankan tanggungjawab yang berbeza, mereka berkongsi matlamat yang lebih luas, iaitu berkhidmat untuk rakyat dan menjaga kepentingan negara.

"Hubungan yang baik dalam kalangan warga kerja amat penting kerana tugasan kita memerlukan kerjasama, komunikasi dan koordinasi merentasi agensi," katanya semasa merasmikan Program Jelajah Wira MADANI dan Penerapan Nilai-Nilai Murni di Sekolah Antarabangsa Labuan, di sini hari ini.

Awang Alik berkata program berkenaan juga mencerminkan komitmen kementerian bukan sahaja dalam menghasilkan tenaga kerja yang berkesan, tetapi juga mewujudkan persekitaran kerja yang padu dan saling menyokong antara agensi.

Dalam pada itu, beliau berkata petugas di bawah agensi KDN di Labuan juga akan terus mendapat perhatian sewajarnya walaupun kedudukan pulau itu jauh dari pusat pentadbiran utama.

"Petugas di Labuan, Kota Kinabalu di Sabah dan Kuching di Sarawak kekal sebagai sebahagian penting dalam keluarga Kementerian Dalam Negeri dan tidak seharusnya berasa tersisih atau diabaikan. Kami akan terus memastikan kebajikan, pembangunan profesional dan keperluan kerja mereka diberi perhatian sebaik-baiknya," katanya.

Berhubung program hari ini, beliau berkata acara itu menggabungkan penyampaian perkhidmatan awam, penglibatan komuniti, sukan, rekreasi dan aktiviti kekeluargaan.

"Aktiviti berkaitan sukan, rekreasi dan melibatkan keluarga dapat memupuk kerja berpasukan, disiplin, komunikasi dan persefahaman antara petugas, di samping membolehkan ahli keluarga menghargai peranan dan tanggungjawab yang digalas mereka," katanya.

Antara aktiviti yang berlangsung bagi kanak-kanak ialah pertandingan mewarna, mengumpul gula-gula dan melastik, manakala acara bagi orang dewasa termasuklah boling buah kelapa, perlumbaan terompah gergasi dan tarik tali, selain cabutan bertuah.

-- BERNAMA