SEPANG, 3 Okt (Bernama) -- Pengurusan pergerakan orang ramai dan trafik di Litar Antarabangsa Sepang hari ini mendapat pujian peminat Formula Satu (F1) selepas beberapa penambahbaikan dilakukan susulan kesesakan serta barisan panjang yang dilaporkan pada hari pertama Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026, semalam.
Beberapa peminat menerusi media sosial berkongsi pengalaman lebih lancar hari ini, termasuk dari segi pengurusan barisan, penyediaan laluan khas bas perantara serta penambahan petugas, marshal dan anggota polis bagi mengawal pergerakan orang ramai dan trafik.
Seorang pengguna Threads, @tanissha_.26, memuji pengurusan berkenaan, khususnya penyediaan laluan khas serta penyelarasan perkhidmatan bas perantara yang disifatkan lebih teratur.
“Syabas atas pengurusan orang ramai hari ini. Barisan bergerak lancar, tiada lagi berebut-rebut. Laluan khas disediakan untuk bas perantara dan laluan keluar dikhaskan untuk bas berkenaan.
“Ramai petugas, marshal dan anggota polis berada di lokasi, selain arahan serta kawalan yang jelas. Terima kasih kerana mengendalikan keadaan dengan baik,” katanya menerusi hantaran itu.
Seorang lagi pengguna, @edadoodle, turut memuji pengurusan barisan serta bantuan diberikan petugas di stesen KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) Transit dan lokasi perkhidmatan bas perantara.
“Terima kasih @malaysiaairports. Barisan bergerak sangat pantas, banyak bas disediakan dan ramai petugas membantu menunjukkan arah dari stesen KLIA Transit ke lokasi bas perantara.
“Saya mula beratur pada 9.15 pagi dan pada 9.25 pagi sudah dalam perjalanan ke @sepangcircuit,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, @nnhs_nadhirah menyifatkan pengurusan hari ini lebih teratur berbanding semalam dan berharap keadaan sama dapat dikekalkan ketika penonton meninggalkan litar petang ini.
Seorang lagi pengunjung, @ryanmahowlett, turut melihat perubahan ketara ketika tiba di Litar Sepang pagi ini.
“Tiba di Sepang pagi ini dan pengurusannya jauh lebih baik. Bas perantara mempunyai laluan khas, ramai anggota polis trafik mengawal lalu lintas dan keadaan juga kurang sesak. Jauh lebih baik,” menurut hantaran itu.
Reaksi positif berkenaan hadir sehari selepas pengguna media sosial membangkitkan isu kesesakan ketika meninggalkan litar, dengan sebahagian daripada mereka mendakwa terpaksa menunggu lama untuk menaiki bas perantara ke kawasan parkir dan hab pengangkutan berhampiran.
Laporan berhubung situasi itu mencetuskan gesaan supaya pengurusan trafik dipertingkat, kapasiti bas perantara ditambah serta penyelarasan perkhidmatan pengangkutan awam diperkemas bagi menampung kehadiran pengunjung yang ramai ke acara berkenaan.
Sementara itu, hantaran di media sosial memaparkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang Azhan Shafriman Hanif turun padang awal hari ini, bagi memantau serta membantu melancarkan pergerakan bas ke litar berkenaan.
GP Gulf Air Bahrain 2026 di Malaysia, yang menandakan kembalinya perlumbaan F1 ke Litar Sepang buat kali pertama sejak 2017, diteruskan hari ini dengan sesi latihan bebas terakhir dan kelayakan menjelang perlumbaan 56 pusingan esok.
Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain Gulf Air dari 2 hingga 4 Okt, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar 2026 selepas perlumbaan berkenaan yang dijadualkan berlangsung awal musim ini dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menganjurkan GP Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan berkenaan digugurkan daripada kalendar F1.
-- BERNAMA