KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Penanda aras sebenar kejayaan sesebuah organisasi bukan sahaja terletak pada produktiviti yang tinggi, keuntungan kewangan atau mencapai sasaran korporat, tetapi juga dalam memastikan tenaga kerjanya pulang ke rumah dengan selamat dan sihat setiap hari, kata pejuang keselamatan Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata keselamatan di tempat kerja tidak seharusnya ditangani selepas sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya perlu dipupuk dalam budaya pencegahan yang disokong oleh kepimpinan, komitmen dan kebertanggungjawaban pada setiap peringkat sesebuah organisasi.
Lee berkata kemalangan di tempat kerja boleh disebabkan oleh bahan kimia, masalah elektrik, bekerja di tempat tinggi dan melibatkan kenderaan, manakala risiko yang kurang ketara termasuk keletihan, tekanan, beban kerja berlebihan, ergonomik yang lemah, buli, gangguan dan risiko psikososial yang lain.
Beliau berkata risiko berkenaan wujud di semua tempat kerja termasuk di kilang, tapak pembinaan, pejabat, hospital, sekolah, gudang, ladang dan jabatan kerajaan, justeru tumpuan tidak seharusnya diletakkan pada keadaan sama ada kemalangan boleh berlaku, tetapi langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mencegahnya.
"Kemalangan jarang berlaku semata-mata 'kemalangan'. Di sebalik banyak kejadian ialah terdapat situasi yang tidak selamat, latihan yang tidak mencukupi, penyeliaan yang lemah, kelesuan, kurangnya komunikasi dan kegagalan untuk mengambil iktibar daripada kejadian terdahulu. Inilah sebabnya pencegahan mesti dilakukan sebelum tindak balas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lee yang juga Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat berkata pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko, penyelenggaraan, prosedur operasi selamat, latihan, peralatan perlindungan peribadi dan persediaan kecemasan bukanlah keperluan birokrasi, sebaliknya langkah-langkah menyelamatkan nyawa.
Organisasi, katanya, mesti mewujudkan budaya yang mencegah kemalangan berbanding sekadar melakukan siasatan selepas kejadian, dengan pihak pengurusan menyediakan kepimpinan, penyelia memberikan panduan yang sesuai dan pekerja mengikuti amalan kerja selamat serta bersuara apabila melihat keadaan yang berbahaya atau kemalangan yang nyaris berlaku.
Lee berkata kesihatan di tempat kerja bukan sahaja tentang kecederaan fizikal, kerana tekanan, keletihan, beban kerja berlebihan, buli, gangguan dan risiko psikososial yang lain dapat menjejaskan kesejahteraan dan prestasi pekerja dengan serius dan mereka juga seharusnya dapat melaporkan sebarang bahaya tanpa rasa takut dipersalahkan atau dihukum.
Keselamatan, menurut beliau, perlu dilihat sebagai pelaburan dan bukannya sekadar kos kerana mencegah kemalangan dapat mengurangkan perbelanjaan perubatan dan pampasan, kerosakan peralatan, kerugian pengeluaran dan kerosakan reputasi, sambil meningkatkan moral, produktiviti, pengekalan dan keyakinan pekerja.
Lee berkata kemalangan yang nyaris berlaku juga harus diambil serius sebagai amaran dan peluang untuk mencegah kemalangan yang lebih teruk, dengan organisasi memberikan tumpuan dalam mengenal pasti punca utama dan mengelakkan kejadian berulang berbanding mencari seseorang untuk dipersalahkan.
Beliau berkata perkembangan pesat dalam bidang automasi, kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu, aturan kerja yang fleksibel dan demografi tenaga kerja yang berubah memerlukan organisasi menyesuaikan pendekatan keselamatan mereka.
"Teknologi baharu bukan sahaja sepatutnya menjadikan kerja lebih pantas, sebaliknya menjadikan kerja lebih selamat," katanya sambil menambah teknologi sepatutnya digunakan untuk mengenal pasti sebarang keberbahayaan, meningkatkan latihan, memperkukuh tindak balas kecemasan dan mengurangkan pendedahan pekerja terhadap tugas yang berbahaya.
-- BERNAMA