Am 03/10/2026 12:26 PM

10,374 Operasi Pendatang Tanpa Izin Digerakkan KDN, JIM Setakat 29 Sept

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
10,374 Operasi Pendatang Tanpa Izin Digerakkan KDN, JIM Setakat 29 Sept

PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menggerakkan 10,374 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dalam tempoh 1 Jan hingga 29 Sept lepas bagi menangani isu pendatang tanpa izin, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata dalam tempoh sama, sebanyak 137,603 individu diperiksa dalam pelbagai serbuan dan operasi di lapangan, manakala 37,313 pendatang tanpa izin ditangkap.

"Alhamdulillah, usaha KDN dan JIM menangani isu pendatang tanpa izin terus digerakkan setiap hari. 

"Isu ini merupakan masalah legasi yang sekian lama membelenggu negara akibat kelonggaran dan ketirisan dalam sistem pentadbiran terdahulu," katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Saifuddin Nasution berkata sebanyak 1,809 majikan turut ditangkap kerana kesalahan berkaitan penggajian dan perlindungan terhadap pendatang tanpa izin, dengan 1,692 daripadanya merupakan warganegara Malaysia.

“Penguatkuasaan tidak boleh hanya tertumpu kepada pendatang tanpa izin, tetapi mesti turut sampai kepada pihak yang menggaji, melindungi dan mengambil kesempatan daripada kewujudan mereka,” katanya.

Beliau berkata peningkatan tangkapan majikan itu jelas berbanding 346 pada 2023, 1,859  pada 2024 dan 2,202 pada 2025, yang menurutnya menunjukkan pendekatan penguatkuasaan KDN dan JIM turut memberi tumpuan kepada pihak yang menyumbang kepada kewujudan isu pendatang tanpa izin.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata warga asing yang datang untuk bekerja atau melawat negara ini perlu mematuhi saluran undang-undang yang sah, termasuk tidak melakukan pencerobohan, pemalsuan dokumen atau tinggal lebih masa.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan Malaysia supaya tidak menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin demi mendapatkan keuntungan mudah kerana tindakan itu turut menyumbang kepada isu keselamatan negara.

“Jangan sesekali lindungi pendatang tanpa izin. Bersama-sama kita bantu KDN dan JIM menyelesaikan krisis ini demi masa depan anak cucu kita,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata isu pendatang tanpa izin bukan sekadar masalah JIM sahaja, sebaliknya turut memberi kesan kepada ekonomi, keselamatan dan ketenteraman sosial negara.

"Saya mahu KDN bersama JIM di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI terus mengambil pendekatan ofensif menerusi operasi harian tanpa henti di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA