KUCHING, 29 Sept (Bernama) -- Sejarawan, universiti dan penyelidik digesa agar meneliti sejarah Sarawak sebelum era pemerintahan keluarga Brooke lagi bagi mengungkap serta memahami dengan lebih mendalam khazanah sejarah negeri itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata usaha lebih giat perlu dilakukan untuk mengkaji sejarah negeri itu sebelum bermulanya pemerintahan dinasti Brooke pada pertengahan 1800-an.
Beliau berkata sebagai contoh, bukti sejarah dan arkeologi di kawasan Santubong menunjukkan wujudnya aktiviti manusia yang ketara serta tamadun awal yang mendahului era Brooke.
“Sejarah kita tidak bermula dengan Brooke. Saya berkata demikian kerana kebanyakan buku sejarah kita menceritakan bagaimana Rajah Brooke datang ke sini dan akhirnya menjadi Rajah Sarawak sedangkan berasal dari tempat yang jauh.
“Namun, tidak banyak maklumat diberikan kepada masyarakat mengenai apa yang berlaku sebelum itu. Ketika itu sudah wujud sistem pemerintahan di Sarawak, begitu juga sistem tamadun yang telah lama bertapak di sini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak (PASS) 2026 di sini hari ini.
-- BERNAMA