KOTA BHARU, 29 Sept (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah agar kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan memanfaatkan pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka bermula pada Januari 2027, bagi meningkatkan kecekapan logistik dan menarik pelaburan baharu ke negeri itu.
Baginda bertitah infrastruktur berkenaan perlu dimanfaatkan untuk memperluas akses pasaran, serta memperkukuh daya tarikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing.
“Harapan beta agar kerajaan Persekutuan dapat menaik taraf jalan utama, khususnya ke pusat pembangunan berasaskan transit di Bandar Baru Tunjung, Kota Bharu dan pusat pembangunan berasaskan kargo di Cherang Tuli, Pasir Puteh,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam titah ucapan bersempena dengan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-57, di Istana Balai Besar di sini hari ini.
Sultan Muhammad V juga menzahirkan rasa syukur atas prestasi ekonomi Kelantan, yang terus menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan positif.
“Pada tahun lepas, beta dimaklumkan ekonomi Kelantan telah berkembang pada kadar 4.1 peratus, berbanding 3.3 peratus pada tahun sebelumnya.
“Sektor perkhidmatan kekal menjadi tunjang utama ekonomi negeri dengan sumbangan 71.8 peratus, diikuti sektor pertanian sebanyak 19.8 peratus,” titah baginda.
Sultan Muhammad V berpandangan positif bahawa kerajaan baginda mempunyai potensi besar dalam meningkatkan ekonomi, melalui jangkaan pengoperasian dua kawasan industri baharu iaitu di Machang dan Tok Bali, Pasir Puteh pada tahun hadapan.
Baginda bertitah peningkatan sektor pembinaan melalui projek-projek berimpak tinggi dan perlombongan, berasaskan kekayaan sumber sedia ada didorong oleh jaringan keterhubungan dan pembangunan infrastruktur utama yang semakin baik.
“Beta menaruh keyakinan bahawa negeri beta boleh menjadi peneraju ekonomi biru di Pantai Timur dengan memanfaatkan sumber pesisir, ekosistem maritim, perikanan dan logistik secara lestari, selari dengan agenda nasional.
“Beta menyambut baik penekanan kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada tahun lepas berhubung pembangunan industri strategik dalam ekonomi biru melibatkan hab perikanan bersepadu, pelancongan pantai dan maritim, serta industri pembinaan dan pembaikan kapal,” titah baginda.
Sultan Muhammad V bertitah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur perlu berperanan bagi memastikan Taman Perindustrian Tok Bali, menjadi teras kepada pembangunan ekonomi berkenaan.
“Beta juga menyambut baik usaha kerajaan negeri meneroka potensi ekonomi hijau seperti tenaga boleh baharu sebagai salah satu sumber ekonomi. Beta berharap inisiatif ini mampu menjana sumber hasil baharu negeri, di samping mengekalkan kelestarian alam sekitar,” titah baginda.
-- BERNAMA