KOTA BHARU, 29 Sept (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah kerajaan negeri perlu memperhebat usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa menerusi promosi bersepadu, kerjasama strategik dan pembangunan produk pelancongan berimpak tinggi.
Baginda bertitah usaha itu penting bagi memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, selain memanfaatkan keunikan warisan, budaya dan produk pelancongan negeri berkenaan.
Sultan Muhammad V bertitah sektor pelancongan Kelantan terus berkembang apabila merekodkan 12 juta pelawat domestik dan 6.5 juta pelancong pada 2025.
“Beta berharap kerajaan negeri akan terus memperhebat usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa melalui promosi yang lebih bersepadu, pengukuhan kerjasama strategik serta pembangunan produk pelancongan berimpak tinggi, termasuk pelancongan perubatan bertaraf antarabangsa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam titah ucapan bersempena dengan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-57, di Istana Balai Besar di sini hari ini.
Baginda turut menyambut baik perkembangan laluan penerbangan antarabangsa yang menghubungkan Kelantan dengan beberapa destinasi luar negara seperti Jakarta dan Singapura.
Sehubungan itu, Sultan Muhammad V berharap lebih banyak laluan penerbangan baharu dapat diwujudkan pada masa hadapan bagi meningkatkan kebolehcapaian ke Kelantan sekali gus membantu mempromosikan negeri berkenaan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
-- BERNAMA