Am 29/09/2026 08:33 PM

Enam Individu Selamat, Dua Kenderaan Dihempap Pokok Tumbang Di Ipoh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Enam Individu Selamat, Dua Kenderaan Dihempap Pokok Tumbang Di Ipoh
Kredit: JBPM Perak

IPOH, 29 Sept (Bernama) -- Enam individu terselamat selepas dua kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di kawasan Lotus, Jalan Simpang Pulai-Lahat, Station 18 di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.26 petang sebelum tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pokok tumbang itu menimpa dua kereta Perodua Bezza dan kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

“Tiada mangsa dilaporkan terperangkap atau mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi JBPM Zaimeer Zulkifli ketika dihubungi Bernama memaklumkan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok bersaiz besar itu masih dijalankan dan dijangka mengambil masa kira-kira dua jam.

Beliau berkata kejadian pokok tumbang itu dipercayai berlaku ketika hujan lebat disertai angin kencang yang melanda kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dialihkan ke bahu jalan menggunakan khidmat tunda,” katanya.

-- BERNAMA