Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa, terjejas akibat kenaikan hasil sebenar Amerika Syarikat (AS) serta tekanan jualan menjelang penerbitan data ekonomi utama AS pada minggu ini.
Pakar Strategi Global Quintex Intel Stephen Innes berkata emas berdepan tekanan jualan yang ketara semalaman apabila pelabur semakin bimbang bahawa peningkatan berterusan hasil sebenar boleh menjejaskan harga logam berharga itu.
“Pada minggu ini, data inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS dan laporan pekerjaan AS dijangka mencatatkan bacaan yang lebih kukuh sekali gus meningkatkan risiko bahawa kadar hasil melonjak semula,” katanya kepada Bernama.
Innes menjelaskan terdapat juga aktiviti pembubaran pegangan yang ketara dalam niaga hadapan emas Shanghai menjelang cuti Golden Week China sekali gus menambah tekanan jualan pada ketika pembeli Asia lazimnya membantu mengehadkan penurunan harga.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2026 susut kepada US$4,139.90 setiap auns troy daripada US$4,145.10 pada Isnin manakala kontrak Oktober 2026 turun kepada US$4,155.80 setiap auns troy daripada US$4,161.00.
Kontrak November 2026 berkurangan kepada US$4,172.60 setiap auns troy daripada US$4,177.80 semalam manakala kontrak Disember 2026, Februari 2027 dan April 2027 masing-masing turun kepada US$4,180.40 setiap auns troy daripada US$4,185.60 sebelumnya.
Jumlah dagangan susut kepada 171 lot daripada 199 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka susut kepada 214 kontrak daripada 262 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,144.55 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 28 Sept, 2026.
-- BERNAMA