Am 29/09/2026 10:20 PM

66 Penceramah Antarabangsa Sertai WEF, G100 Global meet 2026 Di KL

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
66 Penceramah Antarabangsa Sertai WEF, G100 Global meet 2026 Di KL

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Sebanyak 66 penceramah antarabangsa dari 17 negara akan berhimpun di ibu negara sempena Forum Tahunan Ekonomi Wanita (WEF) dan G100 Global Meet 2026 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini dari 14 hingga 17 Okt ini. 

Barisan penceramah melibatkan tokoh dan pemimpin tempatan serta antarabangsa mewakili pelbagai sektor yang dijangka hadir antaranya dari Slovenia, Amerika Syarikat, Filipina dan Australia itu diumumkan secara rasmi dalam sidang media hari ini.

Antaranya ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang Anita Azrina Abdul Aziz dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Kebangsaan bagi Umat Islam Filipina Sittie Aishah Baicon Cayongcat Nuska.

Presiden Kelab G100 Global Datin Dr Hartini Osman dalam ucapan pada majlis itu berkata program berkenaan bertujuan memperkukuh peranan wanita sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi dan sosial, selain memudah cara perkongsian ilmu, jaringan rentas sempadan, pengembangan perniagaan serta kerjasama strategik.

Hartini, yang juga Presiden WEF ASEAN 2026, berkata acara itu dijangka menjadi platform untuk menterjemahkan dialog rentas sempadan kepada peluang ekonomi yang boleh dilaksanakan dan memberikan impak bermakna di peringkat global.

“Pertemuan ini menghimpunkan semangat WEF dan jaringan kepimpinan global G100 sekali gus mewujudkan platform untuk wanita dari pelbagai negara, sektor, generasi dan latar belakang berjumpa, bertukar pandangan serta membina kerjasama yang bermakna,” katanya.

Bertemakan Powering the Future: Empowering Communities and Cultures of Care, Co-Existence, Creativity & Commerce Through Women-Led Development, acara empat hari itu akan menampilkan 25 sesi komprehensif termasuk ucaptama, sesi pleno, dialog dasar global, sesi perbincangan santai, bengkel serta dialog dan persidangan meja bulat G100 Global Meet.

Beberapa acara sampingan turut diadakan serentak, iaitu Majlis Gala dan Anugerah Jubli Mutiara ke-30 Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA) pada 15 Okt, Makmal Transformasi 1 Hari anjuran Persatuan Semarak Cinta Kasih serta 5KM Run for Hope pada 17 Okt sempena Hari Antarabangsa bagi Pembasmian Kemiskinan.

Pelbagai kerjasama strategik, inisiatif dan memorandum persefahaman dijangka dimeterai pada perhimpunan itu sekali gus memperkukuh agenda kerjasama dalam bidang pembangunan wanita, keusahawanan, komuniti serta pembangunan ekonomi dan sosial.

Maklumat terperinci mengenai jadual program dan profil penceramah boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi https://wef2026.ybcaremalaysia.com/.

-- BERNAMA