KUCHING, 29 Sept (Bernama) -- Gerakan koperasi di Sarawak perlu memanfaatkan kemudahan pembiayaan, latihan dan pembangunan kapasiti yang disediakan kerajaan bagi memperkukuh kedudukan serta meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negeri.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata koperasi mempunyai kedudukan istimewa dalam pembangunan ekonomi kerana manfaat daripada perkembangan perniagaan dapat dinikmati secara langsung oleh anggota dan masyarakat.
“Koperasi juga perlu beralih daripada hanya menjalankan aktiviti tradisional kepada perniagaan yang mampu berkembang, membina jenama sendiri, menguasai pasaran dan mengambil bahagian dalam sektor ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 (MAGK’26) Negeri Sarawak di sini, malam ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata gerakan koperasi perlu memberi perhatian kepada beberapa bidang, termasuk meningkatkan skala perniagaan serta menyertai rantaian bekalan lebih besar.
Beliau berkata langkah itu penting khususnya bagi membolehkan koperasi merebut peluang dalam sektor yang sedang berkembang di Sarawak seperti pertanian moden, industri makanan, logistik, pelancongan, tenaga dan sektor hiliran.
Beliau berkata peranan koperasi sebagai pemangkin ekonomi luar bandar juga perlu diperkukuh menerusi usaha menyatukan pengeluaran, meningkatkan standard produk serta membantu membawa produk tempatan Sarawak ke pasaran lebih luas.
“Koperasi perlu bergerak lebih pantas dalam digitalisasi dan e-dagang bagi membolehkan koperasi di kawasan seperti Lawas, Limbang, Kapit dan Belaga menembusi pasaran seluruh Malaysia malah luar negara. Jarak tidak lagi seharusnya menjadi penghalang kepada pasaran,” katanya.
-- BERNAMA