Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
NAGOYA, 29 Sept (Bernama) -- Kontinjen Malaysia melalui saingan hari ini tanpa tambahan pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, namun masih berpeluang menambah koleksi pada baki temasya selepas sasaran awal enam emas berjaya dicapai.
Harapan menambah kilauan emas menerusi sepak takraw tidak kesampaian apabila skuad negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara regu, sekali gus menutup kempen sukan itu dengan satu emas dan satu perak.
Keputusan berkenaan bagaimanapun tidak menenggelamkan pencapaian membanggakan skuad sepak takraw negara yang sebelum ini menamatkan penantian 36 tahun Malaysia untuk kembali meraih emas acara regu berpasukan Sukan Asia.
Berbeza dengan sepak takraw, kem olahraga negara menamatkan cabaran di Aichi-Nagoya tanpa sebarang pingat selepas wakil terakhir Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok podium.
Antara yang mencuri perhatian hari ini ialah Grace Wong Xiu Mei yang melakukan balingan sejauh 64.15 meter pada final tukul besi wanita, catatan terbaik musim ini, untuk menamatkan saingan di tempat ketujuh.
Prestasi itu memberi petanda positif buat Grace selepas melalui tempoh pemulihan akibat kecederaan, selain menjadi pembakar semangat untuk memburu rekod kebangsaan dan pingat emas pada Sukan SEA tahun depan.
Malaysia sebelum ini mencapai sasaran awal enam pingat emas menerusi kejayaan beberapa sandaran utama, termasuk Ng Eain Yow dan S. Sivasangari yang masing-masing mempertahankan gelaran perseorangan skuasy.
Dengan temasya masih berbaki beberapa hari, perhatian kini terarah kepada peluang kontinjen negara menambah koleksi emas, sekali gus menghampiri pencapaian terbaik Malaysia sebanyak sembilan emas dalam satu edisi Sukan Asia.
Esok, tumpuan beralih ke Velodrom Izu apabila jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang kembali membuat penampilan di pentas Sukan Asia menerusi acara pecut individu selepas tidak beraksi pada edisi Hangzhou 2022.
Turut membawa cabaran negara dalam acara berkenaan ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menjadikan basikal trek antara sandaran Malaysia dalam usaha menambah pungutan pingat pada penghujung temasya.
-- BERNAMA