ISTANBUL, 29 Sept (Bernama-Anadolu) -- Qatar mengesahkan pada Selasa bahawa negara itu bertindak sebagai perantara menyampaikan mesej antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sebahagian daripada usaha pemudah cara bagi menamatkan peperangan antara kedua-dua pihak, melaporkan Anadolu Ajansi.
"Usaha perantaraan Qatar sedang berjalan dan kami kini menyampaikan mesej antara pihak Amerika dan Iran," kata Jurucakap Kementerian Luar Majed Al-Ansari pada sidang media di Doha.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan serangan tentera AS secara berskala besar ke atas Iran, Al-Ansari berkata: "Kami bimbang dengan sebarang peningkatan ketegangan di rantau ini dan sedang berusaha mencari penyelesaian secara aman."
Pada Februari, AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran, yang kemudian dibalas dengan serangan ke atas aset AS di seluruh rantau itu sebelum perjanjian gencatan senjata dicapai pada April.
Washington dan Tehran kemudian menandatangani memorandum persefahaman pada Jun bagi menghentikan permusuhan serta memastikan keselamatan laluan pelayaran di Selat Hormuz, namun pelaksanaannya terhenti susulan perselisihan faham berkaitan keselamatan di laluan strategik itu tatkala ketegangan antara kedua-dua pihak terus meningkat.
-- BERNAMA-ANADOLU