KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Golongan muda meletakkan harapan agar Belanjawan 2027 tidak hanya tertumpu pada saiz peruntukan kewangan semata-mata, sebaliknya menyediakan formula konkrit bagi merungkai kemelut ketidakpadanan pekerjaan serta melonjakkan mobiliti ekonomi belia.
Pesuruhjaya Kebangsaan (Perancangan Strategik) Persekutuan Pengakap Malaysia Zairin Adam Abdul Aziz berkata jurang antara kemahiran siswazah dengan keperluan pasaran kerja semasa dilihat kian mendesak, khususnya tatkala ekosistem pekerjaan dipecut oleh revolusi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata kadar ketidakpadanan kemahiran serta masalah guna tenaga tidak penuh dalam kalangan tenaga kerja muda tempatan kini berada pada tahap membimbangkan.
"Perkara paling kritikal sebenarnya ialah keupayaan belia menggapai mobiliti ekonomi yang memerlukan hala tuju dasar yang jelas daripada pihak kerajaan mahupun komuniti.
"Yang mendesak hari ini ialah menstrukturkan semula padanan kerjaya agar kelayakan graduan benar-benar berpaut dengan realiti dan keperluan sebenar industri," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Belanjawan 2027: Menyusun Masa Depan Belia” di sini, malam ini.
Senada dengan pandangan itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Wanita Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Shameera Nasreen Ahamed Noordeen berkata kos sara hidup serta persaingan pasaran buruh sering kali “memaksa” belia menerima sebarang tawaran kerja demi kelangsungan hidup.
"Langkah ini diambil bagi menampung kos sara hidup, bebanan kewangan keluarga serta (bayaran balik) pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Selain isu pendapatan, penyediaan rumah mampu milik serta kawalan kadar sewaan kediaman di kawasan berimpak ekonomi tinggi seperti Pulau Pinang juga perlu diberi perhatian serius dalam belanjawan akan datang," katanya.
Menyentuh ledakan AI, Shameera Nasreen berkata teknologi itu bukan satu ancaman, sebaliknya membuka peluang kerjaya baharu seperti jurutera arahan sekiranya golongan belia mampu menguasai teknologi berkenaan dan bukannya dikawal olehnya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkasakan perkongsian strategik dengan pemain industri bagi membiayai program peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran kerana mereka lazimnya lebih tangkas beradaptasi dengan teknologi terkini.
Kedua-dua tokoh belia berkenaan merupakan johan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2026 masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan pada 9 Okt ini.
-- BERNAMA