KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Pengusaha kecil dan komuniti setempat perlu memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) supaya faedah pertumbuhan sektor pelancongan dapat dinikmati dengan lebih meluas.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata teknologi itu boleh membantu lebih ramai pelancong menikmati keunikan Malaysia, memudahkan perancangan perjalanan serta membolehkan destinasi diurus dengan lebih cekap.
Beliau berkata kepelbagaian budaya, kekayaan warisan dan keindahan alam semula kekal menjadi kekuatan utama Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
“Pada masa sama, kemajuan teknologi mesti seiring dengan tanggungjawab kita memelihara alam sekitar, warisan dan nilai budaya.
“Inilah asas kepada sektor pelancongan yang berdaya saing, lestari dan kekal bermakna untuk generasi akan datang,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2026 Peringkat Kementerian yang berlangsung dari 28 Sept hingga 2 Okt di lobi MOTAC, Putrajaya.
Sambutan bertemakan Digital Agenda and Artificial Intelligence to Redesign Tourism memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi secara berhemah dalam promosi, perkhidmatan dan pengurusan destinasi.
MOTAC turut menekankan kepentingan kemahiran digital dan penyertaan industri serta komuniti bagi memastikan perubahan dalam sektor pelancongan memberi manfaat kepada semua.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan kempen Melawat Malaysia 2026-2027, kementerian itu akan terus menggalakkan pembangunan pelancongan yang lebih pintar, inklusif serta lestari.
-- BERNAMA