Ekonomi 29/09/2026 09:22 PM

Malaysia Boleh Pertimbang Mekanisme Pendapatan Persaraan Sepanjang Hayat – CPFB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Boleh Pertimbang Mekanisme Pendapatan Persaraan Sepanjang Hayat – CPFB

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Malaysia boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan mekanisme pengeluaran simpanan persaraan di peringkat nasional bagi menukar simpanan terkumpul kepada pendapatan sepanjang hayat ketika negara membuat persediaan menghadapi populasi yang semakin menua, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) Lembaga Tabung Simpanan Pusat Singapura (CPFB), Wong Yan Jun.

Beliau berkata mekanisme seumpama CPF Lifelong Income for the Elderly (CPF LIFE) di Singapura, sekiranya dilaksanakan pada skala yang mencukupi untuk meliputi sebahagian besar rakyat Malaysia, boleh membantu menjamin pendapatan sepanjang tempoh persaraan.

CPF LIFE ialah skim anuiti insurans umur panjang nasional Singapura yang menyediakan bayaran bulanan kepada ahlinya sepanjang hayat.

“Bagi saya, ia benar-benar merupakan mekanisme pengeluaran di peringkat nasional... sesuatu seperti CPF LIFE yang menyalurkan simpanan persaraan yang dikumpulkan rakyat Malaysia selama bertahun-tahun menjadi aliran pendapatan sepanjang hayat.

“Jika kita dapat melaksanakannya pada skala tertentu yang meliputi sebahagian besar penduduk, saya fikir ia akan memberikan hasil yang sangat baik untuk semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi panel penutup bertajuk “Ahead of the Curve: A Tale of Three Systems” pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026 di sini, hari ini.

Wong menjawab soalan mengenai dasar yang boleh dipertimbangkan Malaysia dalam tempoh 20 tahun akan datang bagi membuat persediaan lebih baik menghadapi masyarakat yang semakin menua.

Beliau berkata sistem persaraan Singapura yang berteraskan sistem caruman ditetapkan telah berkembang dari semasa ke semasa dengan memasukkan elemen manfaat ditetapkan, selepas menyedari bahawa sesetengah risiko tidak dapat diuruskan hanya melalui caruman ditetapkan.

Antaranya ialah CPF LIFE yang mengumpulkan risiko umur panjang, manakala Singapura turut terus memperkukuh komponen caruman ditetapkan dalam sistem berkenaan, termasuk melalui skim yang meliputi pekerja platform, katanya.

Pekerja platform merujuk kepada individu yang menyediakan perkhidmatan e-panggilan atau penghantaran di bawah perjanjian kerja platform dengan pengendali platform, menerima bayaran atau manfaat dan berada di bawah kawalan pengurusan pengendali ketika menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Beliau berkata penggubal dasar juga perlu melihat sistem persaraan dari tiga sudut, iaitu perspektif rakyat, jangka panjang serta bagaimana setiap komponen saling melengkapi keseluruhan sistem.

Menurut Wong, perspektif jangka panjang memerlukan penggubal dasar melihat melangkaui keperluan semasa, termasuk tempoh 10, 20 atau 50 tahun akan datang, bagi mengenal pasti masalah sebelum ia timbul.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa mengimbangi simpanan persaraan dengan keperluan lain seperti perumahan dan penjagaan kesihatan kekal mencabar.

Singapura mengurus sebahagian daripada pertukaran keutamaan itu dengan mengubah agihan caruman CPF mengikut peringkat kehidupan ahli, dengan bahagian lebih besar diperuntukkan untuk perumahan ketika usia muda sebelum beralih kepada penjagaan kesihatan dan persaraan apabila meningkat usia.

Wong berkata Singapura masih berusaha menentukan keseimbangan yang sesuai antara pelbagai keperluan berkenaan.

Sementara itu, Profesor Pusat Penyelidikan Smart-Ageing Universiti Tohoku, Hiroyuki Murata, berkata Malaysia perlu membuat persediaan awal menghadapi kesan penuaan penduduk dengan mengambil iktibar daripada pengalaman Jepun dalam membangunkan sistem penjagaan jangka panjang.

Beliau berkata fenomena “social hospitalisation”, iaitu keadaan apabila seseorang terus berada di hospital atas sebab bukan perubatan seperti kekurangan penjagaan di rumah, sokongan keluarga atau kemudahan kejururawatan, menjadi masalah sosial di Jepun.

Keadaan itu mendorong Jepun menilai kaedah menyediakan penjagaan secara mampan kepada penduduk yang semakin menua.

Jepun kemudiannya memperkenalkan sistem insurans penjagaan jangka panjang pada April 2000 selepas bertahun-tahun membuat persediaan.

“Anda boleh belajar daripada pengalaman kami. Lebih awal anda membuat persediaan, lebih banyak yang boleh anda lakukan untuk menghadapi masa depan. Anda perlu mula mengkaji dan membuat persediaan secepat mungkin,” kata Murata.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Council on the Ageing (COTA) Australia, Patricia Sparrow, menggesa supaya dasar umur panjang yang lebih menyeluruh diwujudkan bagi menangani isu penuaan merentasi pelbagai bidang, bukannya memberi tumpuan secara berasingan kepada pencen atau penjagaan warga emas.

Beliau berkata dasar sedemikian juga perlu mengiktiraf dan mengambil kira sumbangan yang terus diberikan golongan warga emas, termasuk melalui penjagaan tanpa bayaran.

-- BERNAMA