Am 29/09/2026 09:19 PM

KPJ Healthcare Lancar "PROM-Connect" Perkasa Penjagaan Kesihatan Berasaskan Nilai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPJ Healthcare Lancar
Kredit: KPJ Healthcare

JOHOR BAHRU, 29 Sept (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) hari ini melancarkan PROM-Connect, sebuah platform digital yang diwujudkan bagi menyokong pengumpulan dan pengurusan Patient-Reported Outcome Measures (PROM) secara lebih sistematik di seluruh rangkaian hospitalnya.

KPJ Healthcare dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu menyokong usaha transformasi Penjagaan Berasaskan Nilai kumpulan berkenaan di bawah KPJ Health System, sistem kesihatan akademik bersepadu swasta pertama di Malaysia.

“Selain data klinikal dan operasi, PROM membolehkan pesakit berkongsi penilaian mereka sendiri mengenai hasil rawatan yang diterima dan tahap fungsi serta kualiti hidup sepanjang perjalanan penjagaan kesihatan.

“Menerusi PROM-Connect, proses pengumpulan maklumat ini dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan sistematik menerusi platform digital, sekali gus memudahkan pengumpulan dan pengurusan maklumat tersebut di seluruh rangkaian KPJ,” menurut kenyataan itu.

Johor Specialist Hospital (JSH) dipilih sebagai hospital perintis bagi pelaksanaan PROM-Connect, manakala program PROM sedang dilaksanakan di 14 hospital KPJ.

Kumpulan itu menyasarkan kesiapsiagaan ke arah pelaksanaan 19 hospital menjelang akhir 2026 dan hospital yang mempunyai program PROM, tadbir urus dan aliran kerja yang telah tersedia akan disepadukan secara berperingkat ke dalam platform berkenaan, dengan peluasan seterusnya dirancang bermula pada 2027.

Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata hasil rawatan klinikal kekal menjadi asas penting dalam menilai keberkesanan penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak semestinya memberikan gambaran menyeluruh tentang pengalaman pemulihan pesakit atau sejauh mana rawatan yang diterima telah meningkatkan kualiti kehidupan harian mereka.

“Sehubungan dengan itu, PROM membantu merapatkan jurang tersebut. Bagi KPJ, nilai PROM-Connect bukan terletak pada teknologinya semata-mata, tetapi pada keupayaannya membawa perspektif pesakit ke dalam cara kita menilai penjagaan dan mengenal pasti ruang penambahbaikan.

“Ukuran sebenar kejayaannya ialah sejauh mana maklumat yang diperoleh dapat membantu kita membuat keputusan yang lebih baik serta mencapai hasil rawatan yang lebih baik untuk pesakit,” katanya dalam kenyataan itu.

Susulan pelaksanaan perintis di JSH, Kumpulan akan memberikan tumpuan pada usaha memperkukuh pelaksanaan, memperkemas aliran kerja serta mendapatkan maklum balas pengguna sebelum PROM-Connect diperkenalkan secara berperingkat di hospital lain mengikut tahap kesiapsiagaan masing-masing.

KPJ Healthcare memaklumkan teknologi ini berperanan sebagai pelengkap kepada proses klinikal dan operasi yang menyokong pelaksanaan PROM, namun kejayaannya tetap bergantung pada komitmen hospital, penglibatan pengamal klinikal, kolaborasi multidisiplin serta penyertaan aktif pesakit.

PROM-Connect juga mencerminkan model KPJ Health System yang mengintegrasikan amalan klinikal, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi dalam usaha meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan pesakit secara berterusan.

-- BERNAMA