KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Kunjungan ke China membuka ruang kepada Malaysia untuk meneroka dan memperluas kerjasama strategik berlandaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang semakin erat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di X hari ini, beliau menzahirkan keyakinan bahawa persahabatan Malaysia-China akan terus membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.
Hantaran berkenaan turut memuat naik klip video berdurasi dua minit 57 saat yang memaparkan sorotan lawatan kerja Perdana Menteri ke negara tembok besar itu, berlatarbelakangkan lagu popular berbahasa Mandarin Tian Xia nyanyian Jason Zhang.
Anwar mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou bermula 22 Sept lepas atas undangan rakan sejawatnya, Li Qiang.
Lawatan itu memberi tumpuan kepada dua agenda utama, iaitu menghadiri Pertandingan WorldSkills Shanghai di Shanghai dan Ekspo Perdagangan Digital Global di Hangzhou.
-- BERNAMA